BALING: Belum pun sebulan tragedi kepala air yang meragut nyawa tiga penduduk, empat kampung di sini dilanda kejadian yang hampir serupa semalam mengakibatkan tujuh keluarga membabitkan 32 penduduk Kampung Padang Empang, Kupang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Hassan Samah.
Mangsa-mangsa diarahkan mengosongkan rumah masing-masing sejak pukul 10 malam semalam selepas rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter dan hujan masih lebat.
Menurut penduduk, air Sungai Kupang mulai melimpah sejak petang semalam ekoran hujan lebat melanda kawasan itu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Kapten Rasidah Kassim, berkata, selain Kampung Padang Empang dan Kampung Iboi, air turut memenuhi halaman rumah penduduk di Kampung Bendang Bechah, Kampung Bendang Padang dan kawasan Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah.
“Namun, mereka tidak diarahkan berpindah buat masa ini tetapi jika keadaan bertambah buruk, penduduk terbabit juga akan diarahkan berpindah.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Nor Mohamad Husin berkata, penduduk meluahkan kebimbangan mengenai kewujudan kolam takungan di Gunung Inas yang berisiko menyebabkan bencana berulang.
Katanya, mereka mahu tindakan segera ke atas kolam tersebut kerana selagi ia masih ada, penduduk khuatir banjir lumpur dan kepala air mungkin boleh berlaku lagi.
“Pemantauan juga dilakukan oleh pihak polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR), sekiranya air melimpah ke jambatan Bailey, laluan itu akan ditutup kerana bimbang mendatangkan bahaya,” katanya. –UTUSAN










