KUALA LUMPUR: Lebih ramai dilihat berkumpul untuk berdemonstrasi bagi mendesak bekas menteri ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli agar berundur dari politik.
Aktivis politik, Faizan Mohd Nor berkata, mereka turut mendesak agar Rafizi berhenti dari terus menabur fitnah dan menipu pengundi Pandan pada PRU16.
Beliau berkata, pihaknya dapat mengumpulkan lebih ramai peserta demonstrasi kali ini bagi menyampaikan suara rakyat agar bekas Timbalan Presiden PKR itu berhenti daripada menipu rakyat dengan janji-janji manis terutamanya kepada pengundi.
“Mereka yang ada di sini mahu menyampaikan pesanan kepada Rafizi bahawa beliau gagal selepas diberikan kuasa sebagai wakil rakyat dan menteri, jadi, cukup-cukuplah menipu dan menabur fitnah kerana rakyat terutama pengundi Pandan tidak mahu kamu lagi,
“Mereka ini juga mahu beritahu bahawa negara ini akan lebih stabil dan aman tanpa cerita-cerita dongeng Rafizi ini dan jangan terkejut jika ribuan rakyat terutama pengundi Pandan akan turun berdemonstrasi untuk mendesak perkara yang sama,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan individu mengadakan protes di hadapan pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd, di sini hari ini dan menyerahkan memorandum bagi menggesa Rafizi agar berundur dari dunia politik.
Sementara itu, pengasas PKR, Ng Lum Yong yang turut hadir menyokong protes berkenaan berkata, kenyataan Rafizi yang dilihat semakin hari semakin agresif boleh memberi mesej tidak baik serta mengelirukan rakyat.
“Kenyataan beliau lebih kepada kepentingan peribadi, bukan untuk menyelamatkan negara,” jelasnya. – UTUSAN










