KUALA LUMPUR: Perbuatan menghina Islam oleh segelintir pihak tidak boleh dijadikan agenda normalisasi di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegaskan pihaknya tidak akan sekali-kali berkompromi dengan sebarang kejadian mencemarkan kesucian agama Islam di samping menghina al-Quran dan Rasulullah SAW.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah untuk segera bertindak dan membuka kertas siasatan bagi pendakwaan di Mahkamah Syariah sekiranya berlaku kes sedemikian.
“Orang Melayu kita sangat sensitif dalam bab agama, jadi jika mahu buat lawak atau jenaka di Facebook dan Youtube jangan menyentuh hal-hal berkaitan Islam.
“Isu pentas komedi baru-baru ini kita dapati umat Islam berdiri teguh di belakang agensi kerajaan, malah masyarakat juga mahu tindakan tegas diambil kepada pihak-pihak yang berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Kebangsaan 2022 di Masjid Wilayah di sini hari ini.
Seorang wanita yang tular di media sosial kerana didakwa mencetuskan kontroversi tidak bermoral minggu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, bulan lalu.
Siti Nuramira Abdullah, 26, yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan komediri (stand up comedy) di kelab berkenaan.
Sementara itu, teman lelakinya, V. Alexander Navin, 38, turut didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di Instagram dan Youtube milik mereka.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui laman Instagram, ‘greenleafyconnoiseur’ dan YouTube, ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’, pada 5 Jun dan 16 Jun lalu. –UTUSAN ONLINE