Budak tiga tahun maut dipercayai didera, tiga individu ditahan

Budak tiga tahun maut dipercayai didera, tiga individu termasuk bapa angkat ditahan

DUA lelaki dan seorang wanita dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan maut dipercayai akibat penderaan dalam kejadian yang dilaporkan Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan klinik berkenaan kira-kira pukul 3.46 petang selepas mangsa dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak bernafas, tiada bacaan oksigen, tidak memberi reaksi pada anak mata dan tiada degupan jantung.

“Pemeriksaan fizikal turut menemukankesan lebam dan luka di bahagian dada kiri serta kedua-dua paha, selain bengkak pada paha kanan. Terdapat juga beberapa gelembung air di bahagian betis kanan yang menunjukkan kemungkinan jangkitan kuman,” katanya hari ini.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan termasuk seorang daripadanya merupakan bapa angkat mangsa.

Ketiga-tiga suspek berusia 30 tahun hingga 50 tahun itu kini direman selama enam hari isehingga 19 April ini selepas mendapat perintah Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Azli berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah komplikasi iskemia anggota badan akut  dipercayai berpunca daripada kecederaan patah tulang paha yang menekan otot serta salur darah utama.

“Keadaan itu menyebabkan komplikasi serius apabila mangsa tidak menerima rawatan segera,” jelasnya.

Katanya, mangsa baru tiga bulan tinggal bersama keluarga angkat tersebut di Kampung Banggol Katong di sini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN