Arca rotan bawa Ayue Jaman kenal dunia seni

Arca rotan bawa Ayue Jaman kenal dunia seni

antara koleksi arca rotan yang dihasilkan oleh Ayue.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di tangan seorang pengkarya muda yang penuh visi, sebatang rotan bukan lagi sekadar bahan hutan biasa. Ia berubah menjadi medium ekspresi yang hidup, melentur mengikut emosi dan jiwa penciptanya.

Bagi Siti Nurhayu Jaman atau lebih dikenali sebagai Ayue Jaman, rotan membawa makna yang jauh lebih mendalam. Ia menjadi jambatan antara warisan keluarga dan dunia seni arca moden yang semakin mencabar.

Pada usia 31 tahun, Ayue sudah menempa identiti tersendiri dalam dunia seni visual tempatan. Latar belakang pendidikannya dalam Seni Halus dari UiTM Kota Samarahan dan Shah Alam menjadi asas penting dalam perjalanan kreatifnya.

Walaupun mendapat pendidikan formal dalam seni, Ayue tidak begitu tertarik dengan cabang konvensional seperti lukisan atau cetakan.
Sebaliknya, minatnya sejak awal lebih cenderung kepada seni tiga dimensi. Dunia arca yang memerlukan ketahanan fizikal dan kemahiran mengolah bahan menjadi pilihan hatinya.

MINAT BERKEMBANG

Minat itu mula berkembang ketika dia melanjutkan pengajian di UiTM Shah Alam. Di situlah kecintaannya terhadap arca semakin jelas dan mendalam.

Inspirasi utamanya datang daripada kenangan bersama datuk di kampung halaman di Tambunan, Sabah.

“Saya sering melihat datuk menggunakan rotan untuk membuat bakul bagi mengisi hasil tanaman dan dari situlah tercetus keinginan yang kuat untuk mengangkat martabat rotan daripada sekadar barangan kraf kepada sebuah karya seni kontemporari yang memiliki nilai estetika lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum benar-benar serasi dengan rotan, Ayue pernah bereksperimen dengan pelbagai bahan lain termasuk besi.

siti Nurhayu Jaman bersama satu daripada arca rotan yang dihasilkannya.

Namun, besi dirasakan terlalu keras dan tidak memberikan ‘rasa’ organik yang dicari dalam karyanya. Rotan akhirnya menjadi pilihan yang paling dekat dengan jiwanya.

Dalam dunia arca, Ayue memilih laluan yang tidak biasa. Bidang ini masih jarang diterokai oleh pengkarya wanita, namun beliau berjaya membuktikan kemampuannya.

Kini, dia mahir menggabungkan pelbagai bahan seperti kayu, batu, besi dan seramik untuk menghasilkan tekstur serta struktur yang unik.

BEKALAN ROTAN DARI SARAWAK

Bagi memastikan kualiti karya sentiasa berada pada tahap terbaik, Ayue mendapatkan bekalan rotan premium dari Sarawak.

Rotan dari sana dipilih kerana lebih tahan dan bersaiz besar, sesuai untuk menghasilkan arca berskala besar.

Namun, prosesnya bukan mudah. Rotan perlu dikeringkan sehingga tiga tahun sebelum boleh digunakan dan Ayu menggunakan kaedah tradisional dengan menjemurnya di bawah panas matahari.

Keistimewaan karya Ayue juga terletak pada teknik pemasangan tanpa paku atau bahan kimia moden.

Dia menggunakan kaedah pasak dan tanggam, dengan bantuan teknologi water jet bagi memastikan ketepatan dan mengelakkan keretakan bahan.

Setiap karya pula dimulakan dengan lakaran digital 3D. Ini penting bagi memastikan struktur arca kukuh dan stabil.

CABARAN CARI IDEA

Dalam proses berkarya, cabaran terbesar bukanlah pembinaan fizikal, tetapi pencarian idea.

Jika idea sudah jelas, sebuah arca boleh disiapkan dalam tempoh sekitar seminggu. Namun, mencari idea boleh mengambil masa berbulan-bulan.

Bagi Ayue, fasa mencari inspirasi adalah bahagian paling penting kerana di situlah ‘roh’ sesebuah karya dilahirkan.

Satu daripada karya paling bermakna baginya diinspirasikan daripada peribahasa Melayu, ‘semakin berisi padi, semakin tunduk’.

Arca tersebut menggambarkan sifat rendah diri melalui bentuk yang seakan-akan tunduk secara semula jadi.

Melalui simbol sebutir padi, Ayue cuba menyampaikan ilmu yang tinggi seharusnya disertai dengan sifat merendah diri.

Keunikan karya Ayue juga terserlah melalui teknik imbangan yang mencabar hukum fizik.

Walaupun bidang ini sering didominasi lelaki, Ayue membuktikan wanita juga mampu menguasainya dengan ketelitian tinggi.

Setiap susunan bongkah memerlukan titik keseimbangan yang tepat, menjadikan hasil akhir seolah-olah ‘terapung’.

Tahun 2023 menjadi titik penting dalam kerjayanya apabila dia menyertai program Young Art Entrepreneurs anjuran Balai Seni Negara.

Melalui program itu, dia bukan sahaja mendapat studio, malah didedahkan kepada aspek perniagaan seni.

Peluang tersebut membuka ruang lebih luas untuk beliau membina rangkaian dalam industri.

SEMAKIN DIKENALI

Nama Ayue kini semakin dikenali, termasuk di peringkat antarabangsa seperti Itali dan United Kingdom.

Terbaharu, dia terlibat dalam acara TEMU Seni di Balai Seni Negara pada 11 dan 12 April lalu. Dalam acara itu, Ayue mengendalikan bengkel anyaman rotan asas kepada orang ramai.

Bengkel ini memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih dekat dengan seni rotan.

Pada masa sama, ia menjadi platform untuk dia berkongsi ilmu dan pengalaman.

Kepada bakat baharu, Ayue berpesan supaya tidak hanya bergantung pada kemahiran teknikal semata-mata.

“Mereka perlu membina rangkaian dan memiliki mental yang kuat untuk menghadapi cabaran industri selain jangan mudah berputus asa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN