PETALING JAYA: Kerajaan harus memiliki dasar-dasar ‘meyakinkan’ dalam menentukan hala tuju negara dan bukan dasar ‘tunggang terbalik’ sehingga mempengaruhi nilai ringgit terus lemah berbanding mata wang asing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, pelaksanaan dasar-dasar tersebut seperti pengambilan dan penggajian buruh asing serta pemberian subsidi perlu lebih jelas kerana tadbir urus yang baik akan menjadikan nilai ringgit mengukuh.
“Kalau dasar kerajaan tuntas, ini akan mewujudkan kredibiliti yang baik. Pelabur pula akan mengetahui hala tuju negara manakala rakyat sendiri berasa yakin yang Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang stabil.
“Jadi kerajaan perlu tonjolkan prestasi yang baik dan kalau dapat dikekalkan, sudah pasti wang akan mengalir masuk dan nilai ringgit akan naik semula,” katanya ketika dihubungi semalam.
Baru-baru ini akhbar melaporkan, ringgit terus lemah apabila melepasi 4.4500 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Ringgit didagangkan pada 4.4503 berbanding dolar AS dan matawang negara ditutup rendah berbanding sebelumnya pada 4.4490 daripada 4.4440.
Sementara itu, pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kerajaan perlu mempergiat eksport barangan domestik terutama produk-produk pengusaha kecil dan sederhana bagi memastikan nilai ringgit kekal tinggi.
“Kerajaan boleh mengimbangkan antara kerugian daripada import dengan keuntungan daripada eksport akibat kejatuhan nilai ringgit. Selain itu, sebaiknya kerajaan memulakan pelan proaktif dari sekarang dengan menyediakan bahan makanan dalam negara bagi mengurangkan kebergantungan import dari negara luar.
“Kerajaan juga perlu meneruskan pemberian insentif terutama bagi golongan rentan tanpa mengabaikan golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mungkin turut terjejas bagi memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan rancak,” katanya.
Menurut beliau, kejatuhan nilai ringgit ke paras lebih rendah akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat apabila terpaksa membayar mahal untuk setiap barangan import sekali gus mencetuskan kesan susulan berangkai.
“Contohnya, alat ganti kendaraan yang diimport akan menjadi mahal dan bagi peniaga, kesan kenaikan kos itu akan dipindahkan kepada pelanggan. Malaysia juga bukan lagi tumpuan utama pekerja asing kerana pendapatan dalam ringgit susut,” katanya.
Selain itu, kata Mohamad Idham, pesakit juga kini terpaksa membayar harga mahal untuk ubat-ubatan yang diimport dan sudah tentu caj rawatan di klinik melonjak.
“Bagi kerajaan pula, tekanan kenaikan harga ubatan akan meningkatkan tanggungan kerajaan,” katanya. – UTUSAN










