Cubaan PATI larikan diri gagal, 101 orang berjaya ditahan - Utusan Malaysia

Cubaan PATI larikan diri gagal, 101 orang berjaya ditahan

ANGGOTA Imigresen menjalankan pemeriksaan terhadap PATI yang ditahan dalam serbuan di tiga buah premis di Simpang Pulai di Ipoh semalam. - UTUSAN/IHSAN JABATAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri dengan memanjat tembok tinggi gagal apabila berjaya dicekup anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam serbuan di sebuah kilang barang lusuh dan kitar semula di Kampung Kepayang di sini, semalam.

Serbuan menerusi Op Mahir dan Op Sapu bermula pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi itu turut membabitkan rumah kedai dan rumah kongsi di Simpang Pulai.

Pengarah JIM Perak, Hapdzan Husaini berkata, seramai 101 PATI yang ditahan atas pelbagai kesalahan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 162 orang warga asing.

Katanya, mereka yang ditahan itu merupakan warga China, Myanmar, Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan India berusia lingkungan 15 hingga 62 tahun.

“Serbuan di kilang barang lusuh, logam dan kitar semula dijalankan setelah disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa pas yang sah.

“Kehadiran anggota di lokasi serbuan menyebabkan sebilangan warga asing itu bertempiaran lari sehingga ada yang sanggup menggadai nyawa dengan memanjat tembok tinggi dan melarikan diri ke arah hutan di belakang premis.

“Anggota juga berdepan detik cemas kerana kawasan kilang tersebut dipenuhi barangan tajam dan logam besi. Bagaimanapun, kecekapan anggota berjaya mengepung premis itu sekali gus memberkas mereka,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Menurut beliau, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Perak untuk siasatan lanjut.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah. 

“Jabatan Imigresen akan sentiasa meningkatkan pemantauan dan operasi bagi membanteras kehadiran PATI. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat dan aduan agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut saluran yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya