BALING: Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan tragedi kepala air dan banjir lumpur melibatkan lima kampung di Kupang dekat sini yang sehingga ini mengorbankan tiga mangsa dan menyebabkan 1,500 penduduknya terjejas serta puluhan kediaman rosak.
Hujan lebat lebih tiga jam sejak kelmarin membawa bersama lumpur tebal, timbunan pokok serta sisa kayu dari Gunung Inas berdekatan, mengakibatkan sebuah jambatan yang menghubungkan kampung di Sungai Iboi roboh manakala jalan utama terputus hubungan.
Antara kampung yang terlibat dalam bencana itu adalah Kampung Iboi, Kampung Bukit Ibor, Kampung Tok Pisang, Kampung Tok Saba dan Kampung Padang Empang.
Bencana alam itu berlaku selepas hampir setahun tragedi yang sama di kaki Gunung Jerai, Yan pada 18 Ogos lalu yang meragut enam nyawa dan menjejaskan 2,000 penduduknya.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini berada di Turkiye atas tugasan rasmi negara dalam reaksi segeranya mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa berkaitan membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
Setakat ini kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, Sekolah Menengah Agama Al- Khiriah dan Surau Annur di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang kelmarin, tiga mangsa yang terkorban daripada satu keluarga tidak sempat menyelamatkan diri sebelum mayat mereka ditemukan dalam keadaan berpelukan oleh pasukan penyelamat kira-kira 100 meter dari rumah mereka, semalam.
Mayat seorang wanita yang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, dijumpai berpelukan di bawah timbunan pokok kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.
Kira-kira tiga jam kemudian, mayat anak kepada Salmah, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemukan pula tidak jauh daripada mayat ibu dan kakak iparnya itu.
Malah, sebuah jambatan yang menjadi laluan utama penduduk berulang alik melintasi Sungai Iboi turut roboh dengan strukturnya hanyut kira-kira 50 meter dari kedudukan asal.
Sementara itu, penduduk mendakwa, kejadian terbabit dipercayai turut berpunca daripada kolam takungan yang dibina untuk projek penanaman pokok durian musang king di Gunung Inas pecah setelah hujan lebat lebih tiga jam bermula pukul 2 petang kelmarin.
Kesan limpahan air itu yang dipenuhi lumpur boleh dilihat sejauh lima kilometer dari tempat kejadian.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut diarah segera menyelaras bantuan bersama-sama pihak berkuasa negeri Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas dalam kejadian semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff untuk menyelaras agihan bantuan itu.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Nurul Halimah Kuin, 29, yang menyaksikan kejadian itu berkata, penduduk bertempiaran lari setelah melihat air sungai terlalu laju ketika dia berada di kedai kek miliknya yang terletak berhampiran sungai itu.
“Semasa kejadian saya sedang membakar kek sebelum terdengar bunyi bising dari hulu sungai sebelum ternampak aliran deras sungai bersama batang-batang pokok yang besar dan sisa lain.
“Saya mula mengemas barang sebelum kepala air naik ke jalan kampung seterusnya menenggelamkan kedai pada paras lutut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, ketika melarikan diri, penduduk terdengar bunyi seakan-akan letupan sebelum mendapati jambatan yang merentasi sungai telah dihanyutkan air setelah roboh.
“Saya sempat keluar dari pintu belakang manakala ibu mentua dan seorang pekerja yang terperangkap di dalam kedai diselamatkan jiran,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Rabiatul Adawiyah Meli, 27, berkata, dia hanya teringatkan mati apabila terperangkap di dalam rumah bersama anak perempuannya yang berusia dua tahun di dalam rumah.
“Pada masa itu, air sudah naik sehingga paras dada. Apa yang saya ingat adalah anak dan terus mendukungnya dengan meredah arus deras untuk naik ke kawasan lebih tinggi.
“Ibu mentua saya pula sempat selamatkan diri dengan naik ke atas peti ais sebelum diselamatkan jiran,” katanya.
Menurut Rabiatul Adawiyah, rumahnya turut dipenuhi batang pokok yang dibawa kepala air ke kawasan tersebut.
“Empat kenderaan milik saya termasuk yang digunakan untuk perniagaan sabun dihanyutkan arus deras sejauh lebih 500 meter dari rumah,” jelasnya. – UTUSAN










