KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kira-kira pukul 8.15 pagi.
Baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri serta Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman.
Solat sunat Aidiladha diimamkan Imam Satu Masjid Tengku Ampuan Afzan, Mohd. Hafidz Mohamad Suhaile.
Kemudiannya, baginda bersama jemaah yang hadir bertakbir raya sebelum mendengar bacaan khutbah Aidiladha.
Al-Sultan Abdullah turut beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda sebaik selesai khutbah Aidiladha.
Selesai mengerjakan solat sunat, Al-Sultan bersama Pemangku Raja Pahang, turut berkenan menunaikan ibadah korban di masjid itu.
Sebanyak 23 ekor lembu termasuk dua ekor lembu kurniaan baginda dan seekor daripada Tengku Hassanal ditumbangkan dalam ibadah korban kali ini.
Sementara itu, dalam khutbah yang turut dibaca Mohd. Hafidz menyeru umat Islam menghentikan perbalahan dan persengketaan politik yang boleh merugikan umat Islam.
Ujarnya lagi, umat Islam sewajarnya perlu mencontohi pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup mendahulukan perintah Allah SWT daripada kepentingan peribadi.
Baginda Al-Sultan kemudiannya berangkat meninggalkan majlis kira-kira pukul 9.45 pagi. –UTUSAN ONLINE










