KUANTAN: Seramai 85 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo, Sri Lanka, dilaporkan berada dalam keadaan baik dan selamat.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, susulan daripada pergolakan di negara tersebut, rakyat Malaysia di sana dinasihatkan supaya tidak keluar rumah buat sementara waktu.
“Setakat ini, kita sudah dapat mengenal pasti 85 rakyat Malaysia berada di sana dan mereka semua dalam keadaan baik.
“Kita nasihatkan agar masing-masing duduk sahaja di rumah dan sekiranya memerlukan bantuan boleh menghubungi sahaja kedutaan Malaysia di sana,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program penyembelihan dan pengagihan daging korban di Sungai Karang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Wisma Putra sentiasa memantau rapi perkembangan terkini situasi di negara itu dan bersedia melaksanakan proses evakuasi jika keadaan terus meruncing.
Jelasnya lagi, setakat ini, belum ada lagi rakyat Malaysia di sana yang memohon untuk dibawa pulang.
“Sekiranya ada kaum keluarga di Malaysia yang belum dapat menghubungi saudara mara di Sri Lanka, mereka diminta untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di negara tersebut.
“Sehubungan itu juga, rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar dengan suruhanjaya di sana segera berbuat demikian agar kita dapat pastikan keselamatan terjamin dan bantuan-bantuan lain turut diterima,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berharap keadaan pergolakan di sana cepat berlalu dan kembali tenang.
“Rakyat Malaysia yang ingin melawat dan berkunjung ke Sri Lanka… tangguhkan dulu perjalanan yang tidak penting kerana situasi yang belum stabil,” katanya.
Semalam, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa bersetuju meletakkan jawatan pada 13 Julai ini, selepas kediaman rasminya diserbu oleh penunjuk perasaan dan turut diikuti Perdana Menterinya, Ranil Wickremesinghe.
Pergolakan yang berlaku di Sri Lanka berpunca ekoran kebangkitan rakyat yang kecewa apabila negaranya gagal dalam menguruskan ekonomi negara. —UTUSAN ONLINE










