Dalam keluarga pun kadangkala ada salah faham

Dalam keluarga pun kadangkala ada salah faham – Ahmad Samsuri

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) yakin dapat menyelesaikan pergolakan dalaman parti komponennya dengan menyifatkan perbezaan pandangan sebagai perkara biasa dalam mana-mana organisasi.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar berkata, sebarang isu yang timbul boleh diselesaikan secara harmoni antara parti-parti gabungannya.

“Dalam keluarga pun kadangkala ada salah faham, jadi ini perkara kecil yang boleh diperbetul,” katanya selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Parti Gerakan Rak­yat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pergolakan dalaman parti komponen boleh menjadi punca PN ditolak rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, kegagalan menangani isu dalaman akan melemahkan gabungan dan menjejaskan keupayaan PN untuk memperoleh mandat penuh rakyat bagi membentuk kerajaan.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PN akan terus memperkukuh perpaduan dalaman bagi memastikan gerak kerja politik tidak terjejas akibat sebarang salah faham antara parti komponen.

“Kita perlu menyelesaikan apa juga ketidakfahaman atau salah faham yang wujud dalam PN. Hasil mesyuarat pertama, kita merangka beberapa mercu tanda dan milestone yang perlu dicapai untuk memperbetul langkah dan meletakkan PN di landasan yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata, PN juga sedang memperkemas strategi untuk memastikan gabungan itu kekal sebagai pilihan alternatif yang kukuh kepada rakyat dalam menggantikan kerajaan sedia ada di peringkat Persekutuan.

“Kita mahu bergerak ke hadapan sebagai alternatif sebenar. Insya-Allah, jentera kita bersedia dan menerima arahan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, katanya, PN akan mengadakan satu konvensyen dalam masa terdekat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung lebih awal daripada tempoh asal.

Menurut beliau, konvensyen tersebut bertujuan memperkemas gerak kerja dan memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti di semua peringkat.

“Insya-Allah minggu depan kita akan mengadakan konvensyen sebagai persiapan menghadapi pilihan raya, terutama di Melaka.

“Saya telah beberapa kali turun ke Melaka bukan sahaja bertemu jentera Pas tetapi rakan-rakan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN