IPOH: Jabatan Imigresen berdepan masalah untuk menyimpan pasport yang sudah siap diproses tetapi tidak dituntut oleh pemiliknya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dianggarkan terdapat 2,500 hingga 3,500 dokumen perjalanan itu yang tidak dituntut di pejabat Imigresen di seluruh negara, iaitu jumlah yang terkumpul mulai 1 April lalu.
“Sebelum ini, pejabat Imigresen sesak, ramai yang datang buat pasport sehingga kami dikritik begitu hebat tapi sekarang Imigresen berdepan masalah dokumen itu yang tidak dipungut.
“Pemohon buat pasport secara dalam talian dan apabila diberitahu sudah diluluskan, mereka tidak datang buat pungutan. Ini membebankan Imigresen. Setiap hari kita terpaksa bawa keluar masuk simpan dalam peti besi pasport-pasport yang sudah siap ini,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu berlaku disebabkan mereka membuat dan memperbaharui dokumen itu kebanyakannya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk perjalanan ke luar negara.
Katanya, ini berdasarkan temu bual yang beliau lakukan sendiri kepada pemohon.
“Kalau ikut tempoh yang diberikan hanya selama tiga bulan untuk mereka memungutnya, selepas tiga bulan jika tidak dipungut, ia akan dimusnahkan.
“Tapi dalam keadaan sekarang saya beri tempoh lebih panjang untuk mereka datang dan pungut. Memang tak ada denda jika tidak dipungut, tapi pasport yang telah dibatalkan mereka terpaksa mohon semula dan mereka terpaksa membuat pembayaran sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, mengenai kedudukan Malaysia yang turun kedudukan dalam senarai ‘pasport berkuasa’ di dunia daripada 10 terbaik kini pada kedudukan ke-12, Khairul Dzaimee berkata, kedudukan itu masih baik.
Katanya, pemegang pasport Malaysia mempunyai akses perjalanan tanpa visa untuk 185 hingga 195 buah negara, menunjukkan ia antara yang terbaik di dunia.
“Ukuran kekuatan pasport sesebuah negara dibuat dengan melihat kepada risiko keselamatan. Kita tak nafikan ada rakyat Malaysia yang ke negara maju sebagai pelancong namun bekerja secara tidak sah di negara itu, seperti bekerja sebagai pemetik buah epal di Australia,” katanya. – UTUSAN










