KUALA TERENGGANU: Penduduk di Terengganu didapati ramai yang berhijrah apabila negeri ini kekal antara negeri kurang penduduk walaupun kadar kelahirannya tertinggi.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar kelahiran di Terengganu ialah 2.9 anak bagi setiap pasangan berbanding 1.9 anak di peringkat nasional.
Malah menurutnya, kadar kesuburan pasangan Terengganu juga tinggi iaitu 21.6 peratus.
“Begitu pun, Terengganu antara lima negeri paling kurang penduduk dengan 1.149 juta iaitu kurang tiga peratus daripada keseluruhan rakyat negara ini.
“Antara puncanya kemungkinan ramai rakyat negeri ini berhijrah ke negeri-negeri lain terutama Lembah Klang untuk mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Siri Jelajah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) peringkat Terengganu di sini, hari ini.
Pada masa sama, Uzair memberitahu, berdasarkan hasil Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang mendapati hampir 15,500 rumah tidak berpenghuni di negeri tersebut merupakan rumah persinggahan.
Jelas beliau, kebanyakan rumah tersebut dipercayai milik anak kelahiran Terengganu yang menetap di negeri-negeri lain atas faktor pekerjaan.
“Mereka akan pulang sekali-sekala ke rumah persinggahan di Terengganu apabila cuti selain merancang untuk menetap di kediaman tersebut apabila bersara kelak.
“Selain membiarkan kosong, ramai juga menjadikan ia sebagai inap desa tidak berdaftar bagi menjana pendapatan,” katanya.
Uzair berkata, rumah kosong yang dikategorikan sebagai rumah persinggahan di Terengganu agak tinggi iaitu 32.3 peratus daripada 47,953 kediaman dikenal pasti.
Ujarnya, isu penghijrahan penduduk ke negeri lain boleh dikurangkan sekiranya kadar pertumbuhan ekonomi Terengganu dapat ditingkatkan pada masa depan. –UTUSAN ONLINE










