PARIT BUNTAR: Suspek kes bunuh dan kerat ibu sendiri di Taman Kerian di sini dikatakan pernah membunuh seekor kucing yang masuk ke pekarangan rumahnya.
Penduduk di taman perumahan itu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia menyaksikan sendiri perbuatan kejam itu lelaki itu memotong haiwan tersebut menggunakan pisau.
Katanya, kejadian itu berlaku tiga tahun lalu dan dia amat terkejut dengan tindakan lelaki itu namun tidak mampu berbuat apa-apa.
“Lelaki itu seorang yang pendiam dan selama 13 tahun tinggal di sini, saya tidak pernah melihat dia tersenyum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, suspek mengutip barang-barang lusuh dan dikumpul di sekeliling rumah yang didiami bersama ibunya.
PERAMAH
Katanya, ibu mangsa seorang yang baik dan ramah dengan jiran tetangga.
“Auntie (mangsa) memang peramah dengan jiran tetangga. Dia sering menyanyi dengan kuat dan sering memasang muzik atau suara televisyen dengan kuat hingga kedengaran sampai ke rumah kami.
“Namun hampir seminggu, kami tidak mendengar langsung suara auntie menyanyi,” katanya.
Menurutnya, mangsa mempunyai tiga orang iaitu dua lelaki dan seorang perempuan manakala suspek merupakan anak sulung mangsa.
“Anak ketiganya seorang perempuan telah berkahwin dan tinggal di tempat lain,” katanya.
Katanya, mangsa beritahu bahawa anak perempuannya akan menelefonnya setiap hari.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu kejadian yang menimpa mangsa. Saya tidak mendengar mendengar bunyi pelik sebelum ini atau menghidu sebarang bau busuk dari rumah itu,” katanya.
Semalam, polis menemukan mayat seorang wanita berusia 68 tahun yang dikerat kepada 15 bahagian dalam tangki kumbuhan yang ditutup dengan papan lapis di sebuah rumah di Taman Kerian di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, susulan penemuan itu, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 42 tahun iaitu anak kepada mangsa.
Menurutnya, pihak polis turut merampas sebilah pedang, dua bilah pisau dan barangan yang digunakan suspek dalam pembunuhan itu.
“Siasatan awal mendapati suspek tinggal bersama ibunya di rumah itu sejak 12 tahun yang lalu setelah kematian bapanya.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap ibunya berhubung pembahagian harta pusaka peninggalan bapanya,” katanya. – UTUSAN










