Stadium perlu 20,000 penonton tampung selenggara - Utusan Malaysia

Stadium perlu 20,000 penonton tampung selenggara

Stadium Shah Alam
STADIUM Shah Alam pada zaman ‘kegemilangannya’ digunakan untuk kejohanan Piala Asia 2007 tetapi ia bakal diroboh dan digantikan dengan stadium yang lebih kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kehadiran penonton atau peminat bola sepak ke Stadium Shah Alam dalam tempoh empat hingga lima tahun kebelakangan ini dikatakan merosot apabila sekitar 5,000 orang hadir bagi satu-satu perlawanan.

Oleh demikian, berdasarkan jumlah tersebut dan kutipan tiket yang diperoleh menyebabkan pengurusan stadium tidak dapat menampung kos penyelenggaraan bagi sebuah perlawanan.

Justeru, stadium ikonik dengan kapasiti sehingga 80,300 penonton itu dikatakan perlu menerima kutipan tiket sekurang-kurangnya 20,000 orang bagi satu-satu perlawanan supaya kerja penyelenggaraan termasuk kos pembersihan serta bil elektrik dan air dapat ditampung.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, pendapatan stadium sekitar RM5 juta seperti dilaporkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tahun 2015 hingga 2017 adalah tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan penyelenggaraan.

Malah, bagi penyelenggaraan stadium ketika tidak digunakan memerlukan perbelanjaan antara RM100,000 hingga RM150,000 seperti kerja-kerja pembersihan dan pemotongan rumput di kawasan sekitarnya yang menempatkan peniaga-peniaga termasuk Pasar Tani pada hujung minggu.

“Kalau stadium itu boleh digunakan, kos selenggaranya agak tinggi, saya tak boleh cakap sebab bergantung kepada penggunaan stadium itu. RM5 juta setahun memang tak cukup. Kalau betul-betul datang ke stadium dan tengok, Stadium Shah Alam ini sangat besar dan bertingkat-tingkat.

“Burung pun boleh mendatangkan masalah untuk selenggara. Jadi, untuk selenggara secara keseluruhan pun akan mengambil masa yang agak lama, kos tinggi sebab besar sangat. Setiap tingkat mempunyai masalah penyelenggaraan berbeza. Satu cabaran yang besar kalau hendak jaga Stadium Shah Alam kalau tiada pendapatan lumayan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan pendapatan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sekitar RM5 juta setahun pada 2015 hingga 2017 didakwa tidak berbaloi bagi fasiliti sebesar itu.

Pendapatan itu merangkumi hasil perkhidmatan sewa yang ditawarkan seperti stadium utama yang meraih pendapatan dalam tempoh tersebut antara RM1.99 juta hingga RM2.42 juta dan Stadium Malawati (RM1.04 juta – RM1.2 juta).

Selain itu, KSSA turut memungut hasil perkhidmatan sewa tapak letak kereta yang meraih RM971,500 hingga RM1.09 juta dalam tempoh sama dan Pusat Akuatik (RM911,200 – RM1.07). Kemudahan sewa Extreme Park pula sekitar RM92,000.

Dalam pada itu, Mohamad Nizam turut menegaskan pihaknya tidak menolak sebarang pembangunan terhadap stadium tersebut jika dibangunkan sebagai Bandar Sukan atau Bandar Belia di KSSA atau Seksyen 13.

“Tak ada masalah, saya tak menghalang kemajuan, cuma bagi pihak saya untuk sukan itu harus diambil kira sebagai perkara utama dalam program-program pembangunan yang hendak dibuat.

“Kalau kata stadium ini tukar baharu ataupun dikekalkan, yang penting untuk komuniti sukan dan pembangunannya itu boleh dijalankan pada bila-bila masa berbanding sekarang yang kita tak boleh hendak guna kerana kerosakan dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN