PETALING JAYA: Setiap minit antara lima hingga 10 kes rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa penipuan jenayah siber membabitkan nilai kerugian sehingga mencecah jutaan ringgit.
Trend penipuan yang mudah dan pantas ini dikesan semakin aktif, malah duit yang ‘disedut’ daripada akaun mangsa akan dipindahkan ke luar negara untuk ditukar kepada mata wang lain.
Mengikut rekod, sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian lebih RM1.61 bilion diilaporkan dari 2019 hingga 2021 dengan menyaksikan kes belian dalam talian paling tertinggi sebanyak 18,857 kes diikuti kes pinjaman tidak wujud sebanyak 15,546 kes.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, risikan yang dibuat mendapati transaksi terhadap wang hasil penipuan itu ke akaun di luar negara berlaku pada setiap minit.
Katanya, jenayah siber semakin aktif kerana rakyat negara ini mudah ditipu dan pada masa yang sama pihak berkuasa juga sukar mengambil tindakan disebabkan keengganan mangsa memberi kerjasama sehinggakan banyak kes terpaksa diisytiharkan tiada tindakan lanjut (NFA).
“Penipuan yang berlaku itu pula melibatkan jumlah duit yang banyak dan kemudian disalur terus ke luar negara yang secara tidak langsung menjejaskan ekonomi atau kewangan negara.
“Macam mana kes penipuan siber ini menjejaskan mata wang kita? Sebab duit kita (dibawa) keluar dan ditukar ke mata wang lain di luar negara. Malah, tak tahu hilang ke mana duit itu. Duit ringgit kita, bila dah dipindahkan, hilang.
“Hilang ke mana itu tak boleh dikesan. Ada dalam bentuk tunai, ada transaksi bank. Yang pelik, sepatutnya kalau transaksi bank ada jejak wang. Tapi bank pun ada masalah juga, sepatutnya mereka guna Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) kalau dah banyak sangat jumlah wang yang terlibat,” katanya di sini.
Kata sumber berkenaan, kes-kes penipuan siber sukar untuk ditangani apabila mangsa kurang memberi bekerjasama dengan pihak berkuasa sehingga menyebabkan banyak kes tidak dapat diambil tindakan yang kemudian diklasifikasi sebagai NFA.
Jelasnya, jenayah tersebut semakin menjadi-jadi dan pelbagai modus operandi penjenayah yang semakin licik dan kompleks digunakan menyebabkan penyiasat sukar mendapat bahan bukti dalam bentuk jejak wang dan jejak dokumen selain sikap mangsa itu sendiri yang tidak berani tampil membuat laporan.
Sumber itu memberitahu, ada kes dilaporkan pada awal bulan ini di Selangor membabitkan kerugian dialami mangsa bernilai lebih RM4 juta, namun terpaksa dikategorikan sebagai NFA kerana mangsa gagal memberikan bahan bukti yang lengkap.
“Kes scammer hampir semua NFA sebab tiada dokumen lengkap. Masalahnya, mangsa tidak berani buat aduan sebab malu kerana kena dtipu. Mereka sekadar pasrah duit hilang. Padahal kena tipu, tapi tak sedar ditipu.
“Isu penipuan siber sekarang ini semakin menjadi-jadi, dan ia sering berkaitan dengan kes keldai akaun. Kedua-dua kes penipuan siber dan keldai akaun lazimnya sama.
“Mereka tumpang akaun orang lain, ada yang tumpang (akaun) ada yang tak tumpang. Ada satu kes yang kami terima, penjenayah itu pakai akaun warga Indonesia. Kami syak, orang Indonesia itu sewakan akaun dan kad bank tersebut,” kata sumber.
Sementara itu, satu sumber lain memberitahu, banyak kes-kes yang dibicarakan di mahkamah hanya melibatkan individu yang menjadi mangsa kepada sindiket penipuan yang menggunakan akaun mereka untuk transaksi jenayah.
Sedangkan, kata sumber, penjenayah atau rakan subahat sukar dikesan oleh pihak berkuasa sehingga mendorong banyak kes-kes keldai akaun tidak dapat disiasat secara sistematik.
“Selalu yang kita bawa ke mahkamah ini orang yang dia ini sebenarnya mangsa. Maksudnya bila polis panggil, dia akan datang ke balai polis. Kemudian bila semak, didapati bahawa akaun dia digunakan penjenayah, atau banyak kes-kes yang menggunakan akaun dia, yang melibatkan nama dia digunakan untuk transaksi jenayah.
“Tapi kalau yang betul-betul penjenayah yang jual akaun, atau yang terlibat dalam penipuan, itu memang susah cari. Sebab mereka ini rakan jenayah, mereka tahu bila mereka jual akaun (orang lain), mereka tahu akaun ini yang akan digunakan untuk tujuan jenayah. Yang ini susah cari, sebab mereka tak gunakan akaun sendiri. Tapi yang menjadi mangsa ini, mereka tak tahu bahawa akaun mereka digunakan untuk tujuan jenayah.
“Kadang-kadang polis telefon, encik tolong datang ke pejabat, dia pun panik lantas pergi ke balai polis. Tengok-tengok ada 10 hingga 20 kes membabitkan akaunnya,” kata sumber itu. – UTUSAN










