ARAU: Pas menggesa kepemimpinan UMNO kembali merujuk Piagam Muafakat Nasional (MN) sebelum menuduh parti itu tidak menepati janji dalam soal kerjasama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas tidak pernah mengkhianati MN, sebaliknya menambah baik serta memperluaskan konteks penyatuan ummah dengan turut bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, perjanjian piagam MN tidak menghalang kerjasama dengan parti-parti Melayu atau mereka yang ingin bersama dalam penyatuan ummah.
“Menuduh Pas tidak menepati janji dan sebagai punca MN tergelincir adalah tidak berasas sama sekali. Saya minta, pimpinan UMNO rujuk kembali apa yang tercatat di dalam perjanjian piagam MN itu.
“Adakah cukup penyatuan ummah hanya sekadar UMNO dengan Pas semata-mata. Kita membuka ruang yang luas kepada parti-parti lain dalam penyatuan ummah ini.
“Kita menambah kekuatan dan menambah baik penyatuan ummah, adalah itu memungkiri janji. Pas akan terus memperjuangkan penyatuan ummah ini,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, tindakan Pas yang tidak menepati janji dan konsisten menjadi punca kerjasama dengan UMNO dalam MN tergelincir selepas parti itu masih tetap memilih menyertai Perikatan Nasional (PN).
Bahkan, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan Pas menolak untuk menjalin kerjasama dengan UMNO ketika Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu setelah disyaratkan menggunakan lambang sendiri, bukannya PN.
Namun katanya, UMNO pula dipersalahkan sehingga dianggap mengkhianati MN atas tindak tanduk yang dilakukan Pas itu.
“Sebenarnya kita tidak pernah pun tinggalkan mereka. Mereka yang tinggalkan MN. Mereka yang sekejap begitu, sekejap begini. Di Melaka, kita ajak bersama dalam satu pasukan dengan syarat mereka guna lambang mereka sendiri. Tetapi mereka tak nak. Mereka nak dengan PN. Tak apalah, kita tak ada masalah.
“Tetapi kemudiannya, mereka pula kata kita yang khianat. Itu yang pelik. UMNO tak pernah khianati MN. Itu sebabnya bila orang tanya saya pasal MN, saya kata MN ini sudah sampai kepada surah akhir kita,” kata Mohamad.
Sementara itu, Hashim berkata, Pas tidak bersedia berpisah dengan UMNO namun dalam masa sama tetap memperjuangkan penyatuan dengan kerjasama parti-parti Melayu lain.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, Pas mengambil sikap berdiam diri kerana tindakan itu dibimbangi hanya mengeruhkan lagi keadaan antara kedua-dua parti itu. – UTUSAN










