PUTRAJAYA: Alasan bimbang ‘dipaksa’ mengikut kurikulum sekolah kerajaan adalah antara alasan yang diberikan oleh pengusaha pusat tahfiz tidak mendaftarkan institusi kelolaan mereka dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN).
Mereka mendakwa sudah mempunyai kaedah pengajaran dan pembelajaran mengguna pakai silibus sendiri walaupun tidak diketahui keberkesanan silibus berkenaan dalam dalam melahirkan ramai hafiz yang berjaya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besar Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Mohd. Fitri Ibrahim berkata, institusi tahfiz menggunakan kaedah pengajaran al-Quran yang berbeza-beza dan ada antaranya mementingkan hafazan sahaja.
LUAR NEGARA
Malah, kaedah-kaedah itu mengikut skema negara luar seperti India, Pakistan dan Turki.
“Mereka risau dipaksa ikut (kurikulum pengajian) walaupun sebenarnya tak semestinya mereka perlu ikut. Jadi mereka risau jika mendaftar pihak berkuasa akan memaksa mengguna satu kaedah hafazan al-Quran sahaja,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan institusi tahfiz di negara ini perlu ‘diputihkan’ dengan memastikan kira-kira 1,000 pusat pengajian itu yang belum berdaftar berbuat demikian demi kebajikan pelajar terbela dan tidak dieksploitasi.
Usaha itu bagi melindungi sejumlah 63,168 pelajar dan 8,484 guru di 1,208 institusi tahfiz yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) daripada terkena tempias negatif ekoran masalah yang berlaku di pusat pengajian tidak sah.
SYARAT
Mohd. Fitri turut mendedahkan, alasan lain ialah pusat tahfiz terbabit kekurangan dana untuk memenuhi syarat kelulusan bangunan untuk beroperasi.
“Lebih malang, ada sesetengahnya berdegil enggan mendaftar kerana mahu menyalahgunakan pusat tahfiz untuk mengaut keuntungan,’’ katanya.
Justeru, beliau menyeru agar pusat tahfiz mendaftar dengan bagi membantu dan membela nasib pusat tahfiz, selain menjamin pelajar tidak dieksplotasi mana-mana pihak yang mempunyai niat tidak baik menggunakan nama baik institusi tahfiz bagi tujuan tidak wajar.
“Ada juga pusat tahfiz yang tidak mensyaratkan pelajar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh itu pihak YIPP memulakan inisiatif Program Iltizam Huffaz yang merupakan kelas tuisyen khas untuk pelajar tahfiz bagi membantu mereka menduduki peperiksaan SPM.
“Dalam masa sama YIPP juga sedang merangka satu standard pensijilan tahfiz Pulau Pinang bagi memastikan lulusan tahfiz ini mendapat pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










