PETALING JAYA: Sikap pengundi muda dan atas pagar yang hanya lantang melontarkan pandangan terhadap hala tuju politik negara di media sosial, menyebabkan kuasa sebenar mereka dalam menentukan pembentukan kerajaan tidak begitu jelas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, sebahagian besar daripada dua kumpulan tersebut gemar menyuarakan pendapat mereka di laman media sosial mengenai politik negara.
Menurut beliau, melalui pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, ia tidak menampakkan pola pengundi daripada dua kumpulan tersebut kerana mereka dikatakan tidak keluar mengundi pada hari tersebut.
“Namun, apabila kita lakukan tinjauan di laman-laman media sosial umpamanya, mereka ni begitu aktif dalam mengeluarkan pendapat terhadap perjalanan politik negara.
“Tetapi jika melihat kembali kepada keputusan PRN Johor, walaupun di negeri Selatan itu pengundi muda sudah boleh mengundi tetapi tidak menampakkan pola, citarasa dan arah politik mereka. Kita masih belum dapat tahu lagi,” katanya ketika dihubungi.
Azmi berkata, dua kelompok pengundi itu sebenarnya mampu mempengaruhi kertas undi sekali gus membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
Mengulas mengenai parti yang lebih dekat dengan dua kumpulan pengundi itu, Azmi menyifatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), tetapi, itu masih tidak menjadi pelengkap dan masih ada masa untuk parti baharu atau sedia ada memikat dua kumpulan berkenaan.
“Jikalau ada ahli atau parti politik yang mempunyai idea baharu, maka ia mampu menjadi tarikan kepada pengundi muda dan atas pagar. Di PRN Johor, paling dekat dengan aspirasi idea ni adalah parti Muda.
“Bagi saya, masih ada masa lagi untuk parti-parti politik menguatkan prinsip idea yang mampu menarik pengundi-pengundi dari dua kumpulan tersebut. Sebab ketika ini kita masih tidak nampak mana-mana parti yang mampu menarik mereka.
“Ini kerana parti-parti politik di dalam negara kebanyakannya masih lagi berada dalam ‘acuan lama’. Acuan parti Muda adalah acuan yang baik tetapi tidak cukup walaupun hampir 100 peratus pemimpin daripada parti itu adalah orang baharu, satu perkara baik tetapi tidak cukup meyakinkan dua kelompok berkenaan bahawa mereka mampu mentadbir negara,” jelasnya. – UTUSAN










