Pendedahan bukti UMNO ada dua kem

Pendedahan bukti UMNO ada dua kem

KEWUJUDAN dua kem dalam UMNO kini tidak boleh dinafikan dan terserah kepada kepemimpinan parti untuk menyelesaikannya secara bijaksana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman kelmarin mengenai isu dalaman UMNO membuktikan parti itu kini berpecah kepada dua puak iaitu kem yang menyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kem Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir berkata, pendedahan berkenaan dilihat telah menjawab segala dakwaan yang sebelum ini dinafikan oleh pihak-pihak tertentu.

Berikutan itu, UMNO harus segera mencari jalan untuk menyatupadukan kembali parti tersebut atau sekali lagi me­nerima padah menghadapi kesulitan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebenarnya apa yang didedahkan hanyalah mengiyakan tanggapan yang menyatakan sebelum ini UMNO berpecah, tetapi dinafikan. Jadi benda ini sebenarnya memang wujudlah, memang betul ada kem-kem tertentu dalam UMNO, satu pihak nak kekalkan Ahmad Zahid dan satu lagi tidak menyingkirkan beliau.

JALAN SELAMAT

“Jadi jalan selamat untuk hadapi PRU ini memang tiada jalan selamat kerana UMNO berhadapan isu dalaman parti yang sangat teruk, jadi UMNO perlu membuat satu keputusan yang cepat dan baik atau keadaan akan menjadi bertambah teruk sebab rakyat memerhati,” kata­nya ketika dihubungi, semalam.

Tambah Salawati lagi, krisis dalaman UMNO ini sedikit seba­nyak memberi kesan kepada pihak lawan meskipun gabungan Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang lain dilihat lemah.

Dalam pada itu, pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, UMNO perlu membuat perubahan dengan memperkukuh kembali kesatuan serta budaya Melayu yang tinggi sejak parti itu ditubuhkan pada 1946.

“UMNO tidak boleh terus menerus buat onar begini, kita mewakili orang Melayu. Kita ada cara untuk menjaga parti, parti ini telah berjaya menyatukan orang Melayu. Jika ada pendapat berbeza sekalipun, ia boleh dibincang dalam parti. Akhir­nya, semua mesti setuju keputusan majoriti.

“Perlu diingat, tidak ada parti yang boleh mengukuhkan perpaduan orang Melayu selain UMNO. Apa sekalipun yang dihadapi, kita kena fikir bagaimana parti mesti bersatu. Ini paling penting,” katanya ketika dihubungi.

“Tetapi, inikah cara pemimpin UMNO untuk mengukuhkan parti?” soalnya lagi.

Kelmarin, Tajuddin mendedahkan beberapa perkara dalaman parti, antaranya pengakuan dirinya sendiri menandatangani Akuan Bersumpah (SD) kerjasama dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, dikatakan terdapat pertemuan antara pimpinan UMNO di kediamannya pada Mei 2020 untuk meminta supaya Ahmad Zahid turut daripada jawatan Presiden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN