MUAR: Seorang pemuda berstatus orang kurang upaya (OKU) buntu memikirkan cara untuk melunaskan bil rawatan di sebuah hospital di Singapura berjumlah RM283,124.
Mohamad Azizan Amidin, 32, dari Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini yang bekerja di republik berkenaan sejak lima tahun lalu, terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana ekoran tahap penyakit diabetes dihidapinya kian kronik.
Dia bertekad pulang ke negeri ini dan membuat keputusan berhenti kerja sebagai pembantu di sebuah restoran makanan segera selepas melihat keadaan luka di kaki kirinya semakin teruk.
“Saya dah hidap diabetes kira-kira lima tahun lalu. Awal tahun ini, saya perasan tapak kaki kiri kelihatan lepuh dan ada beberapa gelembung kecil menyebabkan saya cucuk untuk buang cecair berkenaan.
“Tetapi hari demi hari saya lihat luka itu semakin teruk dan saya sapu ubat gamat. Bagaimanapun, keadaan kaki bertambah teruk dan saya putuskan pulang ke Johor segera bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Namun, pada 23 Januari lalu ketika membuat persiapan untuk pulang, saya terlebih dahulu pergi ke klinik di Singapura untuk membeli ubat tahan sakit sebagai persediaan menjalani kuarantin dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Bagaimanapun, katanya, dia pengsan ketika berada di klinik tersebut dan rakan-rakannya terpaksa menghantar ke hospital di Singapura ekoran pintu sempadan negara yang masih ditutup ketika itu.
“Saya dalam keadaan tak sedarkan diri. Jadi, pihak hospital membuat keputusan dan hanya memaklumkan kepada ahli keluarga menerusi panggilan telefon. Selama 19 hari di hospital, saya terpaksa menjalani tiga kali pembedahan memotong kaki kiri kerana menurut mereka kuman dah merebak. Dalam tempoh itu, saya ada merayu untuk dibenarkan pulang kerana sedar bil hospital pastinya mahal, namun pihak di sana tidak mengizinkan atas alasan risau keadaan luka ini yang terdedah dengan kuman.
“Hampir setiap hari saya mengadu pada ibu (Aminah Ibrahim) bahawa saya mahu pulang. Alhamdulillah, Allah pertemukan saya dengan seorang wanita yang aktif melakukan kerja amal. Pada 9 Februari, dia yang saya panggil kakak membawa saya keluar dari situ untuk menyambung rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
“Tiba di HSA, saya menjalani dua lagi pembedahan di kaki kiri kerana menurut pakar, kaki saya yang dipotong sebelum ini masih berisiko mendapat jangkitan,” katanya.
Kini dia yang belum lagi mampu bekerja bingung untuk menjelaskan keseluruhan bil rawatan hospital Singapura berjumlah $89,000.
“Saya anak sulung daripada tiga beradik, ibu tidak bekerja manakala bapanya, Amidin Kadizan, 57, pula hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan. Keadaan kesihatan ayah juga tidak begitu baik kerana jari kakinya juga baru dipotong ekoran diabetes.
“Saya baru sahaja mohon elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masih menunggu proses kelulusan. Saya akui pernah putus asa sehingga tahap reda jika saya dipenjarakan kerana buntu untuk mencari wang hampir RM300,000,” katanya.
Bagi sesiapa yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaunnya, Public Bank bernombor 686-777-2010. –UTUSAN ONLINE










