IPOH: Pembenihan awan di empangan Kolam Air Bukit Merah daerah Kerian tetap akan dijalankan walaupun paras air di tasik buatan manusia itu sudah meningkat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembenihan awan tetap akan dilakukan berikutan tiada mata air yang menjadi sumber air selain keadaan cuaca sekarang yang disifatkan sebagai kemarau.
“Walaupun ada peningkatan paras air tetapi saya pasti ianya tidak mencukupi sebab tiada sumber mata air di Tasik Bukit Merah sebagaimana tasik lain.
“Bermakna jika tidak hujan, air dari situ akan dialirkan keluar untuk pengairan dan ia akan kering juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Menurut Saarani, pihaknya telah bersiap sedia untuk melakukan proses pembenihan awan di tasik itu.
“Justeru, kita perlu bersiap sedia untuk sentiasa menampung air dalam tasik itu,” katanya.
Pada 2 Jun lalu, paras air empangan Bukit Merah dicatatkan pada paras 6.10 meter berdasarkan bacaan pada laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu sudah mencapai tahap Paras Operasi Pengairan Dihentikan.
Bagaimanapun setakat jam 5.30 petang hari ini, laman web sama menunjukkan bacaan paras air tasik itu adalah 6.82 meter, iaitu kurang 1.86 meter daripada paras normal iaitu 8.68 meter. – UTUSAN










