Pelancongan Johor mulai pulih - Utusan Malaysia

Pelancongan Johor mulai pulih

PEMANDANGAN dari udara Desaru Coast yang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong yang berkunjung ke negeri ini yang terletak di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/DESARU COAST
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sektor pelancongan di negeri ini menunjukkan trend pemulihan apabila majoriti industri perhotelan merekodkan sehingga 70 peratus tempahan bilik pada hujung minggu sejak sempadan antarabangsa dibuka 1 April lalu.

Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, peningkatan dalam sektor pelancongan itu turut disumbang oleh aspek pelancongan sukan dan pelancongan kesihatan yang menyaksikan peningkatan mereka ke negeri ini.

“Sebagai contoh, bagi sukan golf, Johor telah berjaya menarik kehadiran pelancong antarabangsa seperti Singapura, Indonesia dan Korea untuk hadir dan bermain golf di negeri ini.

“Tourism Johor komited membantu menjalankan promosi bagi tujuan pelancongan dengan mengambil kira Johor bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah Suhairi, selain membantu mempromosikan sukan golf di negeri ini, Tourism Johor turut membantu menjalankan promosi berkaitan sukan permotoran dan berbasikal.

Selain itu, menurut beliau, peningkatan kemasukan pengembara ke negeri ini turut dibantu dengan kehadiran pelancong kesihatan dari Indonesia yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta di Johor.

“Dalam bulan ini sahaja, kita merekodkan sehingga 300 pelancong kesihatan dari Indonesia, dengan jangkaan jumlah itu akan terus meningkat selepas pembukaan semula pelabuhan feri antarabangsa di Kukup dan Puteri Harbour.

“Majoriti daripada pelancong kesihatan Indonesia ini datang ke sini melalui jalan laut dan mereka ini bukan hadir untuk bekerja, sebaliknya mendapatkan rawatan kesihatan yang secara tidak langsung turut berbelanja di negeri ini,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udanis berkata, negara memerlukan produk pelancongan baharu bertaraf premium bagi menarik minat lebih ramai pelancong ekoran sektor itu masih dalam fasa pemulihan setelah dua tahun terjejas ekoran Covid-19.

Beliau berkata, ia merupakan cabaran yang perlu dilalui dalam mewujudkan produk pelancongan seumpama itu menepati citarasa pelancong yang mahu menikmati pengalaman unik dan lain daripada yang lain.

Katanya, peluang itu perlu direbut oleh pemain industri memandangkan pasaran pelancongan ketika ini sangat dinamik sekaligus menyaksikan harga tiket penerbangan meningkat semula.

“Kita perlukan produk terbaru, pasaran pelancongan bertukar menjadi dinamik dan kita lihat kos pakej pelancongan turut meningkat selari dengan peningkatan tiket penerbangan. Jadi, tidaklah kita mahu jual pakej pada harga biasa, kita hendak memperbanyakkan produk premium untuk tarik lebih ramai pelancong berkualiti,” katanya.

Tambah beliau, usaha Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mewujudkan JDT Hummer Tour dan Caravan adalah salah satu produk pelancongan yang berkualiti dan mempunyai daya penarik.

Jelasnya, teknik pemasaran digital yang terbaik amat diperlukan bagi menyediakan semua maklumat di hujung jari agar mendapat tempias industri pelancongan dunia yang kembali meledak pada ketika ini.

“Semua hendak melancong, oleh itu, kita kena ada strategi pemasaran yang efisien. Jadi, kita kena promosi, menjadi lebih proaktif dan memberi servis berkualiti,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya