ALOR SETAR: Buat julung kali, Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) menganjurkan program Pameran Kerjaya di kampusnya di sini dengan misi pengangguran sifar dalam kalangan penuntut universiti itu, baru-baru ini.
Lebih menarik, program dua hari anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar AIU dengan kerjasama Yayasan NAMA serta Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) AIU itu bukan sahaja terbuka untuk alumni serta pelajar tahun akhirnya tetapi juga untuk orang ramai.
AIU dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, penuntut AIU turut diberi peluang untuk membuka gerai untuk mempamerkan projek akademik mereka.
“Projek akademik pelajar memberi tumpuan kepada kelab tiga sifar. Konsep ini daripada Canselor AIU, Profesor Muhammad Yunus yang merujuk kepada Sifar Pengangguran, Sifar Kemiskinan dan Sifar Karbon.
“Gerai lain adalah dari Fakulti Pengajian Perniagaan Sosial termasuk produk dari ‘Kerepek Maklang’,’Rumah Jahit Baling’ dan ‘Plastigo.000’ pakaian seragam sekolah dari Baling yang terlibat dengan projek perniagaan sosial AIU,” katanya di sini, hari ini.
Tambah AIU, sempena majlis tersebut juga, sesi dialog kerjaya, ceramah kerjaya dan sesi temu duga terbuka dilakukan bagi memberi peluang kepada pelajar dan pengunjung yang hadir mengambil bahagian.
“Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor yang juga Presiden AIU, Profesor Emeritus Datuk Dr. Abd Aziz Tajuddin. Ceramah kerjaya turut diadakan oleh agensi kerajaan berkaitan.
“Selain itu, pameran turut disertai pelbagai syarikat dan agensi kerajaan termasuk Invest Penang, Pos Malaysia, Modenas, Perkeso, Proton, DRB-HICOM, G-Crystal, dan Altel Holdings,” katanya.
AIU merupakan universiti swasta milik Yayasan Albukhary yang menaja 100 peratus pengajian pelajar pintar yang kurang berkemampuan dari seluruh dunia. –UTUSAN ONLINE










