Nelayan perlu keluar kepompong - Utusan Malaysia

Nelayan perlu keluar kepompong

Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) nasihat nelayan menjual terus kepada orang ramai hasil tangkapan mereka bagi mengelak cengkaman orang tengah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Para nelayan di seluruh negara perlu berusaha sendiri untuk keluar daripada kepompong dan cengkaman orang tengah jika mahu menikmati kehidupan yang lebih baik

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, ia adalah adalah pilihan para nelayan sendiri jika tidak mahu terikat dengan kartel dalam industri ikan yang memang telah wujud sekian lama.

“Mereka boleh membuat pinjaman dengan Agro Bank yang disediakan kerajaan melalui peruntukan besar sekali gus tidak perlu lagi berhutang dengan kartel,” katanya semalam.

Menurutnya, hampir 80 peratus nelayan pantai sudah keluar daripada kepompong kesusahan dengan membuat pemasaran sendiri selain dibantu kerajaan dengan peruntukan subsidi.

Katanya, kehidupan beribu-ribu nelayan pantai khususnya sudah banyak berubah selepas kerajaan membangunkan lebih 140 Kompleks LKIM di seluruh negara bertujuan memberi peluang kepada nelayan untuk menjual sendiri hasil tangkapan mereka.

Abdul Hamid berakta, di kompleks LKIM itu, isteri para nelayan boleh menjual sendiri hasil tangkapan suami mereka secara terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

“Memang diakui ada Kompleks LKIM yang tidak berfungsi seperti di Kuala Perlis, Kuantan, Kuala Kedah dan Kuala Selangor kerana ada antaranya tempat tidak strategik tidak sesuai dengan pendaratan bot, tapi kita akan corakkan semula strategi itu dan pulihkan supaya ia lebih berkesan selepas ini,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia melaporkan kebanyakan nelayan-nelayan di negara ini bergantung kepada tauke-tauke besar yang menjadi peraih atau orang tengah untuk menjual hasil laut yang diperoleh.

Malah, kebanyakan nelayan khususnya di negeri ini menggunakan bot milik tauke-tauke ikan untuk turun ke laut dan diarahkan mendaratkan hasil tangkapan hanya di jeti-jeti milik mereka termasuk ada yang terpaksa berhutang.

Dalam pada itu Abdul Hamid berkata, kekurangan bekalan stok ketika ini adalah disebabkan kebanyakan bot besar tidak dapat turun ke laut akibat pandemik Covid-19 berikutan masalah kru kapal yang banyak bergantung dengan nelayan asing menyebabkan industri perikanan lumpuh seketika.

Katanya, negara bergantung kepada 35,000 nelayan asing untuk menggerakkan bot-bot besar ini yang merupakan sumber utama membuat stok bekalan ikan dalam jumlah banyak.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu dijangka pulih selepas ini apabila negara sudah beralih ke era endemik apatah lagi jaminan daripada pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membuat 1,000 tan metrik ikan sebagai stok penimbal dalam tindakan segera.

“Nekmat akan menyahut cabaran sekiranya diberi peranan oleh LKIM untuk membuat simpanan stok. Kita akan bantu apa jua cara bagi meningkatkan taraf ekonomi nelayan sekali gus dapat menstabilkan harga ikan dan memberi pilihan lebih baik kepada pengguna,” katanya.

Berhubung soal kesukaran memperoleh lesen, beliau berkata, Jabatan Perikanan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan lesen kepada sesiapa sahaja, sebaliknya melihat mereka yang benar-benar terlibat dalam industri layak mendapatkannya.

Katanya, ini bagi mengelak ada pihak yang menyalahgunakan lesen tersebut atau menjualnya kepada pihak lain sedangkan dia sendiri tidak turun ke laut.

“Setakat ini pun sudah lebih 7,000 lesen dikeluarkan Jabatan Perikanan kepada nelayan kerana mahu menyokong mereka yang betul-betul terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN