Majoriti penduduk Lembah Klang pilih menyewa - Utusan Malaysia

Majoriti penduduk Lembah Klang pilih menyewa

Kadar faedah perumahan yang tinggi menyebabkan majoriti penduduk Lembah Klang memilih untuk menyewa– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kadar faedah yang dikenakan bank sekitar 2.8 hingga 4.5 peratus bagi pinjaman perumahan disifatkan terlalu tinggi menyebabkan ramai penduduk di sekitar kawasan Lembah Klang memilih untuk terus menyewa berbanding membeli rumah sendiri.

Malah, individu yang mempunyai pinjaman bank perumahan perlu membayar faedah atau amaun yang melebihi harga rumah atau pinjaman yang diperoleh.

Perkara itu didedahkan seorang perunding takaful, Mohamad Hakim Mohamad Idris, 25, menyifatkan kadar faedah tersebut terlalu tinggi dan perlu diturunkan dengan had maksimum dua peratus yang mana bank masih boleh mencatat keuntungan.

“Saya menyedari pendedahan dibuat seorang individu dalam media sosial bahawa dia membayar RM144,000 dalam tempoh lapan tahun, setelah membuat bayaran pendahuluan RM1,500 untuk membeli sebuah rumah.

“Namun, apabila membuat semakan dengan pihak bank, didapati hanya RM32,000 sahaja dibayar untuk pembayaran pinjamannya, manakala RM112,000 pula untuk kadar faedah.

“Jadi, saya lihat ini satu perkara yang tidak adil untuk pengguna kerana mereka terpaksa membayar kadar faedah yang begitu tinggi, sedangkan bukan semua peminjam adalah mereka daripada golongan yang senang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, sekiranya bank mengenakan kadar faedah maksimum dua peratus, institusi itu masih masih lagi mampu meraih keuntungan menerusi tawaran produk kewangan tersebut.

Minggu lalu, akhbar ini mendedahkan bahawa purata harga sebuah rumah di Malaysia bernilai RM400,000.

Ini sekali gus menyebabkan berlakunya tidak ada keseimbangan di antara nilai harga rumah yang dibina pemaju de­ngan pendapatan bulanan negara ini, dengan majoriti mereka bergaji RM3,000 ke bawah sebulan.

Sementara itu, seorang lagi perunding takaful, Syarifah Afifah Syed Annuar, 31, berkata, dia merayu kepada pihak pemaju supaya membina harga rumah yang mampu dimiliki rakyat negara ini.

Menurutnya, dia faham syarikat-syarikat ini membina rumah harga mahal kerana mahu menampung unit rumah lain yang dibina mereka yang tidak terjual.

“Namun, sekiranya situasi banyak rumah tidak dapat dijual terus berlaku, mereka juga akan terus menanggung rugi. Jadi, saya harap pemaju binalah rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

“Saya rasa majoriti rakyat Malaysia sudah tak kisah berapa keluasan atau bagaimana reka bentuk rumah itu, asalkan mereka dapat beli rumah itu dan bayar pinjaman kepada bank tiap-tiap bulan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN