AUBURN, Amerika Syarikat: Lionel Messi menjaringkan gol dalam masa beberapa minit selepas kembali beraksi daripada kebimbangan kecederaan ketika membantu Argentina menewaskan Iceland 3-0 dalam perlawanan pemanas badan terakhir, kelmarin.
Messi bermula di bangku simpanan ketika pemenang Ballon d’Or lapan kali itu kembali secara berperingkat ke tahap kecergasan selepas keluar daripada kemenangan 6-4 Inter Miami ke atas Philadelphia Union akibat keletihan otot pada 24 Mei lalu.
Beliau disertai di bangku simpanan pada awal permainan oleh Julian Alvarez, Enzo Fernandez dan Alexis Mac Allister apabila Lionel Scaloni menurunkan kesebelasan eksperimen di hadapan 88,000 penonton.
Messi dijadualkan beraksi dalam Piala Dunia keenamnya dan meredakan kebimbangan bahawa beliau mungkin tidak bersedia untuk permulaan kejohanan menerusi penampilan cemerlang selama 20 minit.
Argentina memulakan kempen mempertahankan Piala Dunia menentang Algeria pada 16 Jun ini sebelum berdepan Austria dan Jordan dalam Kumpulan J.
Iceland sepatutnya mendahului dalam beberapa minit pertama apabila Mikael Egill Ellertsson melepaskan rembatan tinggi walaupun pintu gol ternganga, sebaliknya juara dunia tiga kali itu membuka jaringan awal.
Iceland hanya mampu mengeluarkan bola sebahagian daripada kekalutan di hadapan gawang mereka dan bola jatuh kepada pertahanan Strasbourg, Valentin Barco, yang melepaskan rembatan ke penjuru bawah gol.
Nico Paz gagal memanfaatkan peluang untuk menyerlah tanpa kehadiran Messi dan mensia-siakan peluang besar untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat apabila rembatan derasnya ditepis menggunakan muka oleh penjaga gol Iceland, Elias Olafsson.
Fernandez dan Mac Allister dimasukkan antara lima pertukaran pemain Argentina pada waktu rehat.
Lautaro Martinez turut dimasukkan pada separuh masa kedua dan dua kali terkena tiang gol ketika sepatutnya menggandakan kelebihan Argentina.
Penonton yang menanti penuh harapan terpaksa menunggu sehingga suku akhir perlawanan untuk menyaksikan kemunculan Messi. – AFP/UTUSAN










