PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memeterai beberapa perjanjian melibatkan aset huluan pengeluaran terpilih di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, sekali gus mengukuhkan komitmennya untuk menjana nilai jangka panjang kepada Malaysia melalui pendekatan berteraskan kerjasama strategik.
Perjanjian menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas Carigali Sdn. Bhd., tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pengoptimuman portfolio Petronas yang lebih luas bagi membangunkan aset huluan secara bertanggungjawab dan mampan, selaras dengan matlamat keselamatan tenaga jangka panjang negara serta pembangunan industri.
Di bawah perjanjian itu, EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd akan mengambil alih peranan sebagai pengendali serta kepentingan penyertaan (PI) dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Balingian, PSC SK8 dan PSC D35.
Syarikat itu juga akan menyertai PSC PM6/12 sebagai rakan kongsi bukan pengendali, memanfaatkan keupayaan teknikal bersepadu dan pengalaman kumpulannya dalam mengurus aset medan matang serta aset di penghujung hayat operasi bagi menyokong kesinambungan operasi dan pembangunan semula aset-aset pengeluaran tersebut.
Petronas berkata, satu daripada komponen penting dalam perjanjian berkenaan ialah penyertaan TI Exploration & Production Sdn Bhd (TI EP) dari Terengganu, yang akan memegang kepentingan penyertaan bukan pengendali dalam PSC PM6/12.
Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata, kerjasama tersebut mencerminkan tanggungjawab Petronas sebagai pemegang amanah sumber negara untuk mengurusnya secara bertanggungjawab sambil memastikan penciptaan nilai berterusan kepada negara dan pihak berkepentingan.
“Apabila aset-aset ini semakin matang, adalah penting untuk ia terus disokong melalui kerjasama yang tepat bagi mengekalkan penciptaan nilai secara bertanggungjawab dan dalam jangka panjang.
“Ini termasuk mewujudkan peluang penyertaan kepada kerajaan negeri, di samping membawa masuk rakan strategik yang mempunyai keupayaan pelengkap serta pengalaman operasi yang relevan.
“Pendekatan ini akan meletakkan kita pada kedudukan yang lebih baik untuk menarik pelaburan berterusan, memperkukuh keupayaan industri dan menyokong keselamatan tenaga Malaysia, sambil memastikan aset-aset ini terus menjana nilai kepada negara,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Petronas, penyertaan itu mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk memperluaskan penglibatan kerajaan negeri dalam industri huluan Malaysia, sekali gus membolehkan entiti berkaitan negeri membangunkan keupayaan dan mengambil bahagian secara bermakna dalam pembangunan sumber petroleum negara.
TI EP merupakan syarikat usaha sama antara TI Petroleum Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Terengganu Inc. yang merupakan cabang pelaburan strategik milik kerajaan negeri.
Sementara itu, Ping Petroleum Limited adalah sebuah syarikat huluan bebas yang memberi tumpuan kepada pengurusan aset minyak dan gas di penghujung hayat operasi, khususnya pembangunan semula medan pengeluaran sedia ada di Laut Utara, United Kingdom.
“Kerjasama strategik ini menggabungkan kekuatan pelengkap antara rakan-rakan industri bagi memastikan operasi aset huluan tersebut dapat diteruskan secara cekap, selain memudahkan pembelajaran operasi, pertukaran kepakaran teknikal dan peningkatan keupayaan dalam sektor huluan Malaysia.
“Ia juga memastikan pengurusan sumber petroleum negara terus dilaksanakan secara berhemah di bawah rangka kerja Pengaturan Petroleum,” jelasnya. – UTUSAN










