PETALING JAYA: Para guru menyambut baik usaha kerajaan menambah elaun warden di sekolah-sekolah sebanyak 25 peratus dan langkah itu dianggap sebagai penghargaan kerajaan terhadap kerja keras mereka menyelia sahsiah dan disiplin pelajar di asrama masing-masing.
Seorang guru yang juga warden di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Seremban, Negeri Sembilan, Nur Azimah Azizan berkata, usaha itu mencerminkan penghargaan ke atas jasa bakti guru yang bukan saja menjalankan tanggungjawab mendidik pelajar dari segi akademik, malah memantau keberadaan pelajar di asrama.
“Sebenarnya wang bukanlah isu utama kepada kami dalam melaksanakan tanggungjawab kami sebagai warden kerana pelajar-pelajar di asrama ini merupakan amanah yang perlu kami jaga,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata, berikutan langkah kerajaan untuk menambah jumlah warden di asrama sekolah di seluruh negara, beliau mencadangkan supaya warden-warden baharu ini nanti dilantik bukan dalam kalangan guru-guru sedia ada.
LEPASAN UNIVERSITI
Sebaliknya, kata Nur Azimah, kerajaan wajar membuka peluang kepada lepasan universiti yang berminat untuk mengisi jawatan tersebut.
“Tugas warden sepenuh masa itu akan membolehkan mereka memberikan tumpuan seratus kepada peranan dan tanggungjawab sebagai seorang warden.
“Maksudnya, wujudkan satu perjawatan khusus sebagai warden, itu lebih baik supaya warden tersebut boleh fokus kepada tugas hakikinya dalam hal ehwal di asrama yang sememangnya amat mencabar dalam keadaan sekarang,” katanya.
Katanya, tugas sebagai warden tidak boleh lagi dianggap sebagai satu tugas yang mudah dan remeh.
“Sebaliknya, warden perlu berdepan dengan pelbagai cabaran terutama dalam memastikan peraturan asrama dan disiplin dipatuhi pada setiap masa,’’ katanya.
Menyedari beban tugas guru yang turut menggalas tugas sebagai warden, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada Jumaat lalu mengumumkan kenaikan elaun bulanan sebanyak 25 peratus bagi warden asrama di sekolah berasrama bawah Kementerian Pendidikan.
Beliau juga mengumumkan pertambahan bilangan warden asrama daripada 6,055 orang kepada 9,868 orang, dan ini merupakan peningkatan 63 peratus atau 3,813 jumlah warden membabitkan peruntukan hampir RM19 juta. – UTUSAN










