PUTRAJAYA: Kelewatan penyediaan laporan penuh pasukan petugas khas yang dibentuk kerajaan pada akhir tahun lepas berpunca daripada pelbagai faktor di luar bidang kawalan.
Situasi itu, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, termasuk teks dokumen asal dalam bahasa Inggeris.
“Keadaan itu memerlukan tempoh lanjut bagi penterjemahan, namun, saya berharap laporan akhir dapat dibentangkan pada Ogos depan,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Oktober 2021 mengumumkan tiga pasukan petugas khas antaranya isu kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, kes Pulau Batu Puteh dan dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam buku yang dihasilkannya.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memastikan tiada kesalahan terjemahan untuk segala dokumen pasukan itu.
“Justeru, jawatan kuasa dalam pasukan terbabit memerlukan tempoh lanjut lagi sebelum dapat melaporkan kepada jemaah menteri kerana ia melibatkan isu yang agak serius,” jelasnya.
Selain itu, beliau memaklumkan ada kelewatan yang disebabkan saksi kes tersebut berada di luar negara dan sukar datang ke Malaysia atau tidak dapat dihubungi oleh pasukan petugas.
Di samping itu, ujarnya, masalah kurang kerjasama diberikan daripada pihak tertentu juga melambatkan penyiapan laporan akhir tetapi beliau berharap isu berkenaan tidak akan berlarutan.
Senario tidak dijangka itu mengakibatkan tempoh enam bulan diberikan setelah pelantikan ahli dalam pasukan tersebut akhir Disember lalu tidak dapat disiapkan menjelang hujung bulan ini.
Namun, katanya, keadaan berbeza jika melibatkan agensi atau jabatan kerajaan kerana mereka komited memberikan kerjasama penuh dan memudahkan laporan disiapkan mengikut jadual.
Pasukan yang dibentuk kerajaan itu sudah mengadakan lebih 10 kali mesyuarat dan mereka perlu mengesyorkan opsyen terbaik bagi hala tuju kerajaan terhadap isu panas berkenaan. –UTUSAN ONLINE










