Graduan wanita didiskriminasi

Graduan wanita didiskriminasi

SETIAP tahun sebanyak 190,000 graduan wanita menamatkan pengajian di IPT. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap majikan mengamalkan diskriminasi jantina menyebabkan jurang ketara antara pekerja lelaki dan wanita meningkat 39 peratus meskipun golongan hawa paling banyak mendominasi bilangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara ini setiap tahun.

Perangkaan semasa menunjukkan 5.83 juta wanita bekerja dalam sektor pekerjaan berbanding 9.13 juta lelaki.

Setipa tahun tahun lebih 190,000 graduan wanita atau 52 peratus menamatkan pengajian di IPT dengan menggenggam ijazah dan diploma berbanding graduan lelaki sebanyak 136,058 orang.

Ketidakseimbangan itu berlaku disebabkan majikan memberi pelbagai alasan ‘menyusahkan’ antaranya tidak mahu menanggung risiko kerugian apabila mengambil pekerja wanita seperti menanggung pelbagai kos perubatan bersalin selain cuti selama 98 hari atau lebih tiga bulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, jurang itu berpunca sikap majikan dan syarikat yang mengamalkan diskriminasi dalam pengambilan pekerja wanita berbanding lelaki.

Katanya, perkara itu berlaku kerana mereka tidak mahu menanggung risiko kerugian selepas menerima pekerja wanita yang dilihat ‘menyusahkan’ khususnya selepas berkeluarga apabila terpaksa memberi bercuti bersalin selama 98 hari atau lebih tiga bulan.

“Semua majikan ingin mengejar keuntungan. Apabila ambil pekerja wanita, kenalah pula beri kemudahan seperti menanggung kos rawatan bersalin dan sebagainya, ini tidak termasuk kos lain-lain seperti rawatan anak dan sakit puan. Selain itu, ada persepsi bahawa wanita tidak mampu seperti lelaki dalam melakukan tugas syarikat.

“Segalanya berbalik kepada diskriminasi yang dilakukan majikan untuk mengambil pekerja apabila lebih mengutamakan lelaki berbanding wanita. Sikap ini menyebabkan tenaga buruh dikuasai lelaki meskipun produk graduan wanita lebih ramai,” katanya.

Sebelum ini, Khazanah Research Institute (KRI) melahirkan kebimbangan berhubung kadar penyertaan dalam tenaga kerja yang rendah dan kadar pengangguran tinggi dalam kalangan golongan wanita berbanding lelaki.

Situasi itu berlaku di sebalik penyertaan golongan berkenaan yang 15 peratus lebih tinggi di segala peringkat pendidikan berbanding lelaki.

Sehubungan itu, Abdul Halim menggesa kerajaan mengkaji semula dasar dan akta pekerja dengan menetapkan kuota pengambilan pekerja wanita antara 30 hingga 40 peratus sepertimana dilakukan negara maju bagi mengurangkan jurang jantina dalam sektor tenaga buruh.

“Bukan sahaja dasar 30 peratus wanita pembuat dasar kena patuhi, tetapi perlu melibatkan sama pengambilan pekerja,” tegas beliau.

Katanya, kerajaan perlu mewujudkan undang-undang khusus untuk melindungi wanita daripada amalan dan dasar diskriminasi oleh majikan dan syarikat terhadap golongan tersebut khususnya bagi mereka sudah mempunyai keluarga.

“Ada majikan khususnya syarikat penerbangan menetapkan kepada pramugari tidak boleh bekerja selepas bersalin dan tidak menyambung kontrak pekerja. Ini adalah salah satu contoh diskriminasi kepada wanita.

“Jika syarikat-syarikat penerbangan negara luar, mereka tidak amalkan dasar ini dan masih meneruskan khidmat pramugari sudah berkeluarga. Bagi mereka, asalkan komited dan mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu gagal ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara kehilangan bakat apabila kebolehan graduan wanita yang berpotensi tinggi terbiar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN