Dua bulan sawit tak dituai kerana masalah buruh asing - Utusan Malaysia

Dua bulan sawit tak dituai kerana masalah buruh asing

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Masalah buruh asing di ladang kelapa sawit tanah rancangan Felda di seluruh negara bagaikan ‘digantung tidak bertali’ walaupun ia adalah isu nasional lebih setahun lalu.

Masalah itu semakin parah sehinggakan terdapat ladang dua bulan tidak dituai menyebabkan buah sawit membusuk di atas pokok sekali gus kerugian yang mencecah puluhan ribu ringgit.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Bendahari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Jengka 14, Mohamed Razali Mamat, 54, berkata, kekurangan tenaga buruh menyebabkan hasil tuaian berkurangan sekali gus menjejaskan pendapatan peneroka dan secara tidak langsung pendapatan negara.

Menurut beliau, peneroka memohon Felda mencari alternatif bagi memastikan tenaga buruh asing mencukupi untuk dibekalkan di semua tanah rancangan di seluruh negara.

“Kita juga berharap Felda yang menguruskan tenaga asing bagi memastikan kebajikan dan kediaman mereka selesa bagi mengelakkan pekerja asing lari untuk memilih majikan baharu.

“Pada masa sama tenaga buruh tempatan yang terdiri daripada generasi baharu diberi gaji dan insentif lebih menarik berbanding buruh asing.

“Ada dilaporkan tenaga buruh tempatan mendapat upah lebih rendah berbanding buruh asing yang mengerjakan tugasan sama penyelenggaran ladang dan menuai buah sawit,” katanya di sini semalam.

Ketua Peneroka Felda Jengka 1, Abdullah Ani pula berharap kerajaan khususnya Felda mencari alternatif buruh asing dari negara lain selain Indonesia.

Ini kerana, menurut beliau, Indonesia dilaporkan bercadang menghentikan penghantaran tenaga buruh ke negara ini.

“Ini kerana mereka (Indonesia) juga memerlukan tenaga buruh untuk bekerja di ladang sawit di negara mereka yang lebih besar berbanding negara kita,” katanya.

Timbalan Ketua Peneroka Felda Raya, Yuslan Mohamed, 46, berkata, ada ladang sawit sudah dua bulan tidak dituai kerana masalah kekurangan buruh asing.

“Akibatnya, buah sawit membusuk di ladang. Sebulan wajib potong buah dua kali sebulan. Kesannya, peneroka kerugian ribuan ringgit sebulan apabila hasil sawit tidak dapat dituai,” katanya.

Oleh itu tegasnya, isu buruh ladang sawit perlu segera diselesaikan supaya lambakan buah di pokok dapat diatasi.

Ini kerana katanya, buah sawit dianggap ’emas hitam’ dan harga komoditi itu boleh menjunam pada harga rendah. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN