ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sedang memperincikan cadangan agar subsidi minyak kepada bot nelayan kelas C2 dikembalikan dalam usaha membantu golongan berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, keputusan berhubung perkara tersebut akan dimuktamadkan melalui perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan.
“Memang betul kita bagi subsidi sebelum ini semua kelas kapal C2 tapi dihentikan sejak 2019. Subsidi hanya diberikan kelas A dan B. Tetapi ada permintaan dari nelayan kelas C2 untuk mereka juga diberi subsidi ini. Mereka hanya 500 pengusaha di negara ini.
“Cadangan ini diterima dan sudah dibincangkan di pihak kementerian. Keputusannya akan ditentukan oleh kerajaan. Kita sudah duduk semeja dengan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar setelah mengadakan pertemuan dengan syarikat penternakan dan pengeluaran, Bismi Empire Sdn Bhd, di kilang memproses ayam di Simpang Empat Kangkong di sini hari ini.
Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) baru-baru ini menggesa agar kerajaan menimbangkan semula pemberian subsidi minyak itu kepada bot nelayan kelas C2 kerana golongan termasuk merupakan penyumbang terbesar tangkapan ikan dalam negara.
Menyentuh tentang desakan penghapusan larangan pukat bubu naga, kata beliau, pengharaman peralatan tersebut adalah munasabah dalam usaha melindungi sumber perikanan negara termasuk ekosistem laut.
“Ada beberapa peralatan diharamkan termasuk bubu naga ia untuk melindungi sumber perikanan negara, terumbu karang. Nelayan boleh guna peralatan dibenarkan.
“Semua larangan ini adalah demi memastikan sumber bekalan perikanan kita tidak terjejas,” katanya. – UTUSAN










