Akta Profesion Guaman Syarie 2019 berkuat kuasa mulai 21 Jun - Utusan Malaysia

Akta Profesion Guaman Syarie 2019 berkuat kuasa mulai 21 Jun

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah hampir 38 tahun diperjuangkan, Akta Profesion Guaman Syarie 2019 bakal berkuat kuasa mulai 21 Jun depan yang akan meliputi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, tarikh itu ditetapkan sebagai permulaan setelah akta ini disiar dalam Warta Kerajaan pada 9 Jun lalu.

Penetapan itu akan turut melibatkan bersama dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2019) atau juga dirujuk sebagai Akta A1606.

“Dua penetapan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 Mei 2022 dan ditandatangani Setiausaha Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022,” katanya melalui kenyataan.

Beliau, malah, menambah, langkah penyiaran kedua-dua penetapan tersebut adalah selaras dengan hasrat pihak kerajaan untuk penguatkuasaan Akta Profesion Guaman Syarie 2019.

Usaha untuk mewujudkan akta berkaitan profesion itu ujar beliau, telah pun bermula sejak 1984 lagi dan setahun kemudian, rang undang-undang mengenai perkara ini sudah digubal.

Ia diusahakan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil kerana sebelum akta yang dikenali sebagai Akta 814 itu wujud, profesion itu dikawal selia mengikut akta lain.

Pengamalnya tertakluk di bawah peruntukan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 mengikut Seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993.

Sejarah penggubalan Akta 814 itu kata Idris, akhirnya dapat direalisasikan apabila diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan kemudian di Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

“Akta ini telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda pada 15 November 2019 sebelum ia disiarkan pula dalam Warta Kerajaan pada 19 November 2019,” tambah kenyataan beliau.

Bagaimanapun, penguatkuasaan Akta 814 telah ditangguhkan bagi diberi peluang supaya 10 kaedah yang perlu digubal dapat disiapkan serta pelaksanaannya berjalan lancar dan teratur.

Penggubalan kaedah itu telah diusahakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan usaha sama daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Turut terlibat sama dalam proses tersebut kata beliau lagi, ialah pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jawatankuasa Peguam Syarie Malaysia dan Majlis Peguam Malaysia.

Selain itu beberapa bengkel secara intensif telah diadakan dengan dikendalikan oleh pihak berkepakaran, berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang itu yang dilantik oleh Jakim.

Justeru, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jakim giat melaksanakan gerak kerja untuk menganjurkan satu mesyuarat agung pertama Badan Peguam Syarie.

“Organisasi ini antara lain bertujuan menjaga kepentingan profesion itu yang akan mengawal selia pengamal kerjaya bidang tersebut seperti juga peguam di mahkamah sivil,” tegas Idris.

Beliau berharap, Akta 814 itu dapat memartabatkan institusi perundangan syariah selain memperkasakan profesion peguam syarie secara holistik setara dengan peguam bukan syarie.

Pada masa yang sama, beliau berhasrat akta itu dapat dijadikan model untuk negeri-negeri lain bagi tujuan penyeragaman undang-undang berkaitan profesion guaman syarie di Malaysia. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN