KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak tahu wujud gerakan untuk menjatuhkannya yang didakwa diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang didedahkan oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, semalam.
Bagaimanapun, Presiden UMNO itu berkata, semua pihak perlu menghormati perlembagaan parti sebelum meminta mana-mana individu yang berjawatan mengundurkan diri.
“Jika seseorang itu dipilih oleh perwakilan, maka jika sesuatu permintaan mahu dilakukan, ia juga ada peraturan parti (yang perlu diikuti),” katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin parti sama ada mahu mengambil tindakan atau sebaliknya.
“Jika Lembaga Disiplin mendapat laporan, permintaan atau sebarang siasatan untuk sesuatu tindakan dilakukan (ke atas Tajuddin), maka apa juga saranan oleh Lembaga Disiplin itu akan dipertimbang serta akan diputuskan oleh MT,” jelasnya selepas menghadiri prosiding perbicaraan diri di Mahkamah Tinggi, di sini semalam.
AKUAN BERSUMPAH
Mengenai pengakuan Tajuddin bahawa beliau adalah salah seorang yang diminta untuk menandatangani Akuan Bersumpah (SD) kerjasama Presiden UMNO itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid menyerah perkara itu untuk dinilai oleh akar umbi.
“Akar umbi sewajarnya boleh menilai pendedahan dan kedudukan Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai anggota MT sama ada terpilih atau dilantik.
“Beliau dilantik sebagai ahli MT atas rayuan setelah beliau kalah sebagai Naib Presiden UMNO, maka pelantikan beliau itu adalah mengikut fasa-fasa dalam perlembagaan UMNO yang memberi kuasa kepada Presiden untuk melantik seseorang yang asalkan sebagai ahli UMNO untuk duduk sebagai ahli MT.
“Jadi terpulanglah mengikut klausa berkenaan sama ada untuk lantik dan menamatkan atau menggantikan tempat yang kosong itu dengan seseorang yang lain yang juga mengikut klausa dalam perlembagaan UMNO itu.
“Bagi saya apa saja yang dinyatakan oleh beliau sama ada ia tidak benar atau pun terdapat sikit kebenaran, saya serahkan kepada ahli-ahli UMNO terutama di akar umbi untuk membuat penilaian yang sewajar terhadap kedudukan seseorang itu sebagai anggota MT sama ada mereka itu terpilih di dalam pemilihan atau dilantik mengikut klausa perlembagaan atau turut hadir dalam mesyuarat MT,” katanya. – UTUSAN










