KUALA LUMPUR: Spekulasi pembubaran Parlimen Ke-14 semakin bertiup kencang apabila ada dalam kalangan ahli Parlimen menerima emel bagi tujuan penamatan pembayaran faedah.
Emel tersebut yang diterima daripada Pejabat Parlimen Malaysia meminta supaya mereka mengemaskini maklumat Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen (APAD) yang akan terlibat dengan pembubaran Parlimen – salah satu tanda pilihan raya umum (PRU) akan diadakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber dari Parti Warisan (Warisan) berkata, penerimaan emel seperti itu biasanya dikaitkan dengan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat kerana ia tidak dihantar setiap tahun.
Jelas sumber, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau juga menerima emel serupa dan dalam masa satu bulan Parlimen dibubarkan.
“Pejabat Parlimen tidak meminta kemas kini setiap tahun, hanya apabila pembubaran Parlimen hampir dekat. Sebelum ini pun kami menerima emel dan tidak lama selepas itu Parlimen pun dibubarkan,” katanya.
Menerusi emel diperoleh Utusan Malaysia, hasil semakan mendapati ia dihantar kepada semua ahli Dewan Rakyat, menyatakan bahawa Parlimen Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengemas kini maklumat fail peribadi APAD.
Ahli-ahli Dewan Rakyat diberitahu, mereka diminta melengkapkan tiga borang iaitu Maklumat Penamatan Perkhidmatan (Anggota Pentadbiran/Ahli Parlimen/Setiausaha Politik), Permohonan Pelantikan Wakil Skim A dan Borang Pertukaran Akaun Bank serta beberapa salinan dokumen sokongan.
Surat itu menyatakan, kesemua dokumen perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada atau 10 Jun ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dari UMNO ketika diminta menjelaskan maksud emel tersebut bagaimanapun menafikan Parlimen dibubarkan hanya disebabkan penghantaran emel berkenaan.
“Tidak, kita hanya mengembalikan semula kebebasan Parlimen ke pentadbirannya sendiri. Tidak berkait dengan pembubaran Parlimen,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu dari DAP, Chan Foong Hin mengakui menerima emel sama, namun menyifatkan ia sebagai perkara biasa ketika penggal Parlimen hampir tamat.
“Ahli-ahli Parlimen (kanan) juga cakap kepada saya yang ini memang lumrah apabila sudah sampai ke tahap kurang daripada satu tahun menjelang penggal Parlimen penuh. Bagaimanapun, kami harus tetap bersedialah dengan apa jua kemungkinan yang berlaku nanti,” katanya. – UTUSAN











