KUANTAN: Malaysia masih gagal mengekang ancaman dadah walaupun telah 39 tahun melawan musuh nombor satu negara itu dengan peruntukan besar sehingga RM800 juta setahun diberikan kepada agensi yang diberi tanggungjawab untuk menanganinya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden dan pengasas Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia), Khalid Hashim berkata, walaupun memiliki pusat serenti terbanyak di dunia dan penguatkuasa seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk melaksanakan tanggungjawab, namun kedudukan negara masih di takuk lama.
Katanya, peningkatan jumlah penagih dan rampasan dadah pada setiap tahun membuktikan Malaysia masih gagal melawan musuh nombor satu negara tersebut walaupun kerajaan telah mengisytiharkan bahan terlarang itu sebagai musuh nombor satu negara sejak 1983.

“Selama 39 tahun melawan dadah sebagai musuh nombor satu, Malaysia mempunyai pusat serenti terbanyak dalam dunia dan agensi (penguatkuasaan) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan agensi lain yang turut membantu seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Malah, peruntukan sehingga RM800 juta setahun diberikan kepada AADK untuk melaksanakan kerja berkaitan dadah, namun negara masih di takuk lama apabila golongan penagih makin ramai dan rampasan dadah semakin banyak,” dakwanya.
Difahamkan, pada masa ini terdapat 30 pusat serenti di bawah pengawasan kerajaan manakala 46 buah lagi dikendalikan pihak swasta.
“Jadi, bagaimana kita hendak berdepan dadah yang mengandungi bahan psikoaktif baharu (NPS) kerana dadah jenis ini seperti telefon bimbit, perkembangannya begitu terkehadapan.
“Dadah jenis ini (NPS) juga lebih bahaya daripada dadah yang ada ketika ini dan sebelum ini. Rasanya, rangsangannya lebih kuat sehingga boleh mengancam nyawa dan keselamatan.
“Banyak antara dadah NPS ini masih tiada dalam akta, jadi tiada tindakan boleh diambil. Kalau kita masih di takuk lama, mentaliti lama, isu dadah di negara ini akan lebih serius, kritikal dan sukar dikawal,” katanya.
Semalam Mingguan Malaysia melaporkan, sebanyak 900 jenis dadah NPS dikesan dalam pasaran tempatan dan global ketika ini sekali gus menjadi isyarat bahawa bahan khayal itu berevolusi secara drastik.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lebih membimbangkan apabila revolusi dadah itu terlalu cepat sehingga tidak selari dengan undang-undang atau akta dadah sedia ada di semua negara termasuk Malaysia.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga bekas penagih berkata, kesan dadah ketika ini tidak sama seperti dahulu yang mana ia boleh mengancam nyawa sehingga anak sanggup bunuh ibu bapa sendiri.
“Kalau kerajaan tidak mahu ambil tindakan drastik, tidak mustahil selepas ini satu rumah akan ada satu penagih seperti mana dikatakan oleh Pengarah JSJN Bukit Aman sebelum ini, Datuk Razarudin Hussain.
“Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pun pernah berkata, jika kes penyalahgunaan dadah di negara ini tidak dibendung, tidak mustahil Malaysia akan menjadi seperti Colombia, ia bukti seriusnya ancaman dadah di negara ini dan perlu tindakan drastik,” katanya.
Beliau berkata, banyak perkara yang tidak betul tentang usaha menangani dadah dan komited Malaysia mempunyai model yang berkesan sejak dilaksanakan bermula 1999 namun tidak diikuti.
“Saya sendiri bekas penagih dan kami kenal penagih, kami tahu apa yang mereka mahu sebab kami dekati mereka. Ramai penagih hendak berubah, tapi adakah apa yang kerajaan laksanakan selama ini mampu mengubah mereka?
“Saya berikan contoh hukuman sahaja, kalau libatkan penagih, hukuman rotan dikenakan cukup perit sampai terkoyak kulit. Tapi kalau rasuah jutaan ringgit, curi duit balak, pengubahan wang haram, mereka dirotan dengan cara berbeza.
“Itupun sudah tidak adil, sepatutnya hukuman dikenakan biarlah setimpal dengan kesalahan dilakukan.
“Kenapa saya cakap begini, kerana saya bekas penagih dan saya ada pengalaman,” katanya. – UTUSAN










