147 undang-undang lapuk diteliti - PM - Utusan Malaysia

147 undang-undang lapuk diteliti – PM

ISMAIL Sabri Yaakob menerima cendera hati berupa gambar potretnya ketika masih menjadi penuntut Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya pada Majlis Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, sambil diiringi Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, di sini hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan meneliti undang-undang sedia ada termasuk 147 undang-undang yang telah lapuk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penambahbaikan itu akan dibuat segera selaras langkah transformasi undang-undang secara signifikan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Katanya, ketika ini, terdapat undang-undang sedia ada yang tidak lagi relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji dan meneliti perkara berkenaan.

“Transformasi undang-undang ini perlu kerana keadaan telah berubah dan undang-undang juga perlu bergerak dan mengikut keadaan semasa.

“Misalnya, Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan 50 tahun Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, antara langkah proaktif kerajaan dalam memperkasakan undang-undang di Malaysia termasuk memansuhkan hukuman mati mandatori di samping Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan Dana Sumbangan Politik.

Katanya, pengumuman pemansuhan mati mandatori bukan bermaksud hukuman itu dihapuskan.

“Ramai yang keliru tentang pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini. Kerajaan tidak menghapuskannya, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada hukuman mati atau pilihan yang lain.

“Objektif ini perlu menjadi asas dan dasar kepada kerajaan dan pembuat polisi dalam hal berkaitan penghukuman suatu jenayah
untuk mencari hukuman yang terbaik, setimpal dan berkesan,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu Ismail Sabri turut mengumumkan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim dengan dana sebanyak RM1 juta selain Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia bagi membantu proses pembelajaran pelajar Fakulti Undang-Undang UM daripada keluarga B40. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN