Zuraida ahli Bersatu, Setiausaha Politik PBM? - Utusan Malaysia

Zuraida ahli Bersatu, Setiausaha Politik PBM?

zuraida
ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketika ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan mempunyai hubungan dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Setiausaha Politiknya, Muhamad Shazlee Muhammad Nazlee didakwa memegang jawatan dalam parti itu.

Meskipun tidak dibatasi sebarang undang-undang, adalah amat janggal menteri dan pegawainya menganggotai parti politik berlainan.

Muhammad Shazlee yang difahamkan memegang jawatan Timbalan Pengerusi PBM Negeri Selangor dan Pengarah Pilihan Raya Negeri bukan setakat hadir ke program PBM, malah, didakwa menggunakan kemudahan kementerian untuk mengadakan perbincangan serta menyusun atur gerak kerja politiknya.

Semakan Utusan Malaysia menerusi Direktori Media Awam Jabatan Penerangan Malaysia bagi Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mendapati, Muhammad Shazlee masih bertindak sebagai Setiausaha Politik Zuraida beserta emel dan nombor telefon rasmi pejabat yang dipaparkan.

Menerusi hantaran peribadi dikongsikan pengguna Facebook, Hassan Yusof, bertarikh 18 Februari lalu, dia menyertakan beberapa keping gambar digital di pautan berasingan memaparkan Muhammad Shazlee bersama beberapa ahli PBM.

Selain itu, terdapat satu cetakan skrin menunjukkan kenyataan supaya gambar tersebut tidak dimuat naik ke media sosial.

Sehari selepas itu, Hasan berkongsi satu lagi gambar menunjukkan carta organisasi Negeri PBM dan jelas menunjukkan, Muhammad Shazlee berada dalam organisasi tersebut, namun, kesemua gambar ahli tidak disertakan dengan nama penuh.

“Supol (setiausaha politik) menteri dilantik timbalan pengerusi negeri. Lepas saya melawat rakan-rakan PBM, tiba-tiba saya dilantik menjadi pengerusi negeri. Saya tidak tahu pun saya dilantik,” kata Hassan secara sinis yang merujuk kepada Muhammad Shazlee.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Hassan percaya Muhamad Shazlee terlibat dengan PBM sekali gus mengaitkan Zuraida dengan parti berkenaan walaupun beliau telah menafikannya.

“Mudah sahaja, jika anda seorang menteri, adakah anda benarkan pegawai-pegawai anda menjadi setiausaha politik, duduk di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi duduk di parti politik berlainan? Apakah maknanya sedangkan ini (pegawai) adalah lantikan politik kepada menteri?,” soalnya.

PBM yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, telah didaftarkan sebagai badan politik rasmi pada 27 Oktober 2021, yang antara lain merupakan parti dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Kini, PBM dianggotai lebih 50,000 ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang ditubuhkan Zuraida semasa menyandang jawatan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Media sebelum ini melaporkan, Zuraida dijangka keluar Bersatu pada April lalu dan menyertai PBM, mengambil kira jangkaan kerajaan Persekutuan akan membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×