UMNO perlu tunggu kata putus RoS

UMNO perlu tunggu kata putus RoS

umno
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak boleh menarik nafas lega berhubung langkah pindaan perlembagaan bagi membolehkan Majlis Tertinggi (MT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti selagi belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, keputusan sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung Khas UMNO itu kelmarin tidak bermakna pemilihan parti itu telah dimuktamadkan untuk ditangguhkan.

Katanya, UMNO perlu menghantar keputusan perwakilan kepada RoS dalam tempoh 60 hari dan jabatan itu kemudian akan memberikan kata putus sama ada diluluskan atau sebaliknya.

TIDAK LULUS

“Jika RoS tidak meluluskan, UMNO perlulah membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri. Jika keputusan sebaliknya, maka parti itu boleh membuat proses seterusnya ke mahkamah jika tidak puas hati dengan keputusan RoS.

“Namun terlalu awal untuk kita menentukan apakah nasib yang bakal berlaku kepada UMNO pada akan masa datang, tetapi segala-galanya bergantung im­plikasi keputusan kelulusan yang ditentukan RoS kelak,” katanya.

Kelmarin, Perhimpunan Agung Khas UMNO meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan MT diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Usul diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian di seluruh negara.

Dengan kelulusan rasmi itu, MKT UMNO diberi dua pilihan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Pada masa sama, Mohamed Haniff menambah, walaupun keputusan itu suara perwakilan, namun tidak bermakna seluruh ahli UMNO bersetuju dengan perkara tersebut.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling pula berkata, UMNO berhak mengadakan pemilihan selepas PRU setelah mendapat mandat perwakilan.

Jelasnya, langkah itu amat penting bagi memastikan kemenangan UMNO dalam pilihan raya akan datang.

“Pemilihan UMNO selepas PRU adalah wajar bagi menggelak campur tangan anasir luar daripada mengambil kesempatan dalam memecahbelahkan UMNO sekiranya pemilihan diadakan lebih awal daripada PRU,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN