Tiada kompromi jika wujud kesalahan proses pensijilan halal - Utusan Malaysia

Tiada kompromi jika wujud kesalahan proses pensijilan halal

HAKIMAH MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan bahawa pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat apa-apa kesalahan dan ketidakakuran melibatkan proses pensijilan dan pengiktirafan halal.

Malah, Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menyiasat sebarang dakwaan salah laku dalam perkara ini termasuk melibatkan pegawai jabatan berkenaan sekiranya ada.

“Jakim juga bersedia pada bila-bila masa untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh mengenai isu ini demi kepentingan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh sebuah syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia menerusi sidang akhbar Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam sidang akhbar itu, seorang saksi yang juga merupakan bekas pekerja di rumah penyembelihan itu tampil membuat pengakuan terbuka menerusi persidangan video berhubung salah laku prosedur penyembelihan bukan sahaja menyalahi protokol halal malah amat kotor dan jijik.

Dakwa saksi itu yang dikenali Abdullah, binatang dilemaskan dalam takungan darah daripada binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Sebelum ini, Laporan Utusan Malaysia 14 April lalu mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Dalam pada itu, Hakimah berkata, siasatan berhubung dakwaan ini sedang dijalankan oleh Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan juga pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE).

Jelasnya, perbincangan antara Jakim dengan Kaunselor (Pertanian), Kedutaan Australia di Malaysia juga telah diadakan pada 28 April lalu bagi memastikan hasil siasatan tersebut dapat diserahkan kepada Kerajaan Malaysia secepat mungkin. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya