KOTA BHARU: Suspek utama kes bunuh remaja perempuan yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh dekat sini dijangka dituduh dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis. Setakat ini siasatan kes berkenaan sudah 70 peratus selesai. Sebaik sahaja siap, kita serahkan kepada pihak pendakwaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, pasangan suami isteri warga emas yang ditahan reman bagi membantu siasatan dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, lelaki berusia 66 tahun dan wanita berusia 60 tahun itu ialah ibu bapa kepada salah seorang suspek berusia 19 tahun yang direman tujuh hari.
Terdahulu, polis menemukan 61 kesan tikaman pada badan gadis yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Kampung Simah.
Maklumat tersebut hasil pemeriksaan awal dilakukan oleh pasukan forensik bermula dari bahagian muka sehingga kaki. – UTUSAN










