HANOI: Kejayaan membawa pulang 39 pingat emas pada Sukan SEA Vietnam 2021 boleh dikatakan satu pencapaian membanggakan buat kontinjen negara, susulan berdepan pelbagai cabaran termasuk persediaan terutamanya kerana pandemik Covid-19.
Malaysia menutup kempen Sukan SEA edisi ke-31 tersebut di tangga keenam dengan mengumpul 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa manakala Singapura di kedudukan kelima dengan mengumpul 47 emas 46 perak dan 73 gangsa.
Kedudukan itu, adalah paling rendah dalam sejarah sejak menyertai temasya dwitahunan itu, dengan kali terakhir Malaysia berada di tangga keenam adalah pada tahun 1983 ketika Sukan SEA dianjurkan di Singapura.
Lebih merisaukan adalah Malaysia masih ketinggalan jauh terutama menerusi sukan-sukan yang dipertandingkan dalam acara Olimpik antaranya renang mahupun olahraga yang menawarkan 87 pingat emas, iaitu paling banyak di Sukan SEA Vietnam.
Pada edisi ke-31 itu, Malaysia hanya mampu meraih satu emas, empat perak dan 2 gangsa ketika acara renang menawarkan 40 emas, berbeza dengan Singapura yang mendominasi sukan itu apabila meraih 21 emas, 11 perak dan 12 gangsa bagi mengutip 44 pingat keseluruhan.
Sementara itu, dalam sukan acara padang dan trek yang menawarkan 47 acara, Malaysia berada di tangga keempat menerusi pungutan pingat apabila meraih lima emas, tujuh perak dan lapan pingat gangsa.
Pasukan tuan rumah, Vietnam melakukan kejutan apabila meraih separuh daripada kemenangan tersebut dengan meraih 22 pingat emas, 14 perak dan lapan gangsa sekali gus mengumpul 44 pingat keseluruhan dalam sukan olahraga.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyuarakan kebimbangan tersebut dan memberi peringatan kepada beberapa persatuan sukan kebangsaan agar segera berubah dan tidak menjadi beban kepada kontinjen negara di kejohanan berbentuk temasya.
Menurutnya, setiap persatuan harus bersikap adil dengan kontinjen bukannya menjatuhkan selepas gagal membantu skuad negara untuk mencapai sasaran yang lebih tinggi.
Justeru, Norza berpendapat Malaysia harus perlu lebih berani menghantar atlet muda di Sukan SEA Kemboja Mei tahun depan daripada terus ‘kitar semula’ atlet ke temasya dwitahunan tersebut.
Norza berkata, jika tidak berubah, Malaysia akan berada di takuk yang sama iaitu di kedudukan sekarang atau teruk lagi pada temasya akan datang.
“Ada persatuan sukan yang menterjemahkan perancangan untuk jangka masa pertengahan dan jangka masa panjang. Ada masih lagi menggunakan semula orang yang sama dan cara pemikiran masih tidak berubah. Inilah ‘orang’ yang menjatuhkan kontinjen.
“Ada antara persatuan sukan menyahut cabaran dengan menghantar atlet muda dan ada persatuan kata tak adil tidak hantar atlet junior tapi yang hantar atlet senior masih ditakuk lama.
“Sukan SEA Kemboja selepas berlangsungnya Sukan Malaysia (Sukma), jadi Sukma akan jadi kayu pengukur kepada atlet muda apabila bila kita menghantar mereka beraksi di sana.
“Apa salahnya hantar atlet muda kerana tahap penyertaan mereka (selepas Sukma) adalah Sukan Sea. Kita tidak boleh bergantung kepada atlet senior sahaja sampai bila-bila dan ia akan menyebabkan kita tidak ada apa-apa (atlet yang bagus) untuk Sukan Asia dan Olimpik
“Kalau kita tidak berubah dan berada di takuk ini, kita akan tetap nombor enam (kedudukan keseluruhan), silap-silap jatuh di tangga tujuh keseluruhan. Jadi saya fikir, kita perlu cari bakat dan perlu lihat perkara ini serta mara ke depan.
“Kalau kita hantar atlet pelapis dan mereka cuba sedaya upaya, kita boleh menghargainya. Bagaimanapun, kita tidak boleh hargai perkara yang sama berulang kali dan alasan sama,” katanya pada sidang akhbar merumuskan kontinjen Malaysia pada edisi ke-31 di Hanoi.
Dalam pada itu, Norza turut memuji kesungguhan persatuan sukan yang melakukan perubahan menghantar barisan atlet muda dan berjaya mencapai pencapaian terbaik pada temasya dwitahunan tersebut.
“Secara keseluruhan, kita perlu bangga dengan pencapaian kita di sini kerana banyak persatuan yang hantar atlet muda dan mereka berjaya mencapai keputusan yang cukup baik,” katanya. – UTUSAN










