PETALING JAYA: Tiga syarikat kejuruteraan yang disiasat dalam penipuan dan rasuah melibatkan projek Klang Valley Mass Rapid Transport (KVMRT) dipercayai membayar RM54 juta kepada individu tertentu.
Jumlah yang diterima berkenaan adalah balasan bagi satu projek yang diterima.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, bayaran itu didakwa dibuat kepada salah seorang ketua pegawai eksekutif syarikat yang melaksanakan projek-projek kepentingan awam dan beberapa pengurusan tertinggi.
“Ia sebagai balasan bagi mendapatkan projek-projek berkaitan Transit Aliran Ringan (LRT) di sebuah lokasi dan projek Transit Aliran Massa (MRT).
“Difahamkan, nilai suapan bagi setiap projek masih diteliti SPRM ketika ini dengan hasil pertukaran maklumat dengan pihak berkuasa Perancis,” katanya di sini, semalam.
Laporan Utusan Malaysia semalam mendedahkan senarai beberapa nama individu kenamaan dan syarikat berkepentingan sudah berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa menerima rasuah bagi menjayakan projek-projek awam.
Ia selepas pihak berkuasa Perancis menerima dakwaan serius membabitkan tiga syarikat kejuruteraan yang menjalankan projek KVMRT melakukan penipuan dan rasuah.
SPRM ketika ini difahamkan sedang meneliti secara menyeluruh meliputi tiga skop iaitu projek LRT di sebuah lokasi, projek MRT dan LRT3.
Ketiga-tiga projek mega itu membabitkan nilai RM30 bilion dalam tempoh sejak 2011 sehingga kini.
Kata sumber, projek berkenaan didakwa dilaksanakan oleh sebuah syarikat di negara ini yang dikaitkan dengan sebuah konglomerat Perancis yang terkenal dengan kes penipuan kerana memalsukan ujian keselamatan dan kualiti yang dijalankannya.
Sumber itu menjelaskan, salah satu daripadanya adalah syarikat senarai awam Perancis yang memulakan projek infrastruktur mega di beberapa negara termasuk lebuh raya, lapangan terbang dan perumahan.
Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan semalam memberi jaminan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam projek pembinaan infrastruktur pihak mereka.
“Tiada sebarang kompromi terhadap apa jua bentuk rasuah dalam setiap urusan membabitkan mereka,” tegas kenyataan itu.
Menjelaskan lanjut, kenyataan itu juga menyebut bahawa Prasarana akan bekerjasama dengan SPRM bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung dakwaan rasuah tersebut. – UTUSAN










