Pas masih ‘sayangkan’ MN

Pas masih ‘sayangkan’ MN

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas mengingatkan UMNO supaya menghormati piagam Muafakat Nasional (MN) yang telah disepakati dan tidak terburu-buru untuk memutuskan hubungan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, salah satu fasal dalam piagam tersebut adalah jika berlaku sebarang perselisihan atau salah faham antara kedua-kedua parti itu, kembalilah merujuk kepada al-Quran sebagai rujukan bagi menyelesaikan sebarang masalah berbangkit.

Katanya, Pas sentiasa berpegang kepada perjanjian pia­gam tersebut dan sama sekali tidak bersedia memutuskan hubungan dengan UMNO.

Ujarnya, MN adalah formula terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan rugi jika hubungan yang sedia terjalin itu tidak dipertahankan.

“Kita tidak pernah putus dengan UMNO dan sentiasa menghormati perjanjian yang termeterai di dalam piagam MN. Pas tidak sedia untuk putus dengan UMNO dan berharap sebarang perselisihan dapat diselesaikan.

“Sebaik-baiknya kembalilah kepada penyatuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di negara ini dan janganlah berpecah,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh Pas dan UMNO disifatkan formula terbaik.

Takiyuddin dilaporkan ber­kata, penyatuan itu bukan terhad kepada parti-parti tertentu sahaja, sebaliknya boleh disertai mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid pada Sabtu lalu menjelaskan kerjasama UMNO dan Pas melalui MN perlu dilupakan pada PRU15.

Ini kerana, jelas Presiden UMNO itu, parti tersebut telah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada Pas untuk mempersetujui perkara terkandung dalam piagam MN namun tidak disepakati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×