Mansuh AP bunuh petani, penternak tempatan - Utusan Malaysia

Mansuh AP bunuh petani, penternak tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan drastik kerajaan memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta boleh ‘membunuh’ petani dan penternak tempatan di negara ini.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad berkata, pemansuhan keperluan AP sememangnya wajar bagi mengelakkan sebarang monopoli syarikat tertentu.

Bagaimanapun, katanya, implikasi jangka masa panjang lebih besar apabila ia dijangka memberi kesan yang teruk kepada petani dan penternak tempatan.

“Masalah yang sering terjadi kepada petani cili atau lada umpamanya dalam beberapa tahun lepas mereka tidak dapat menjual hasil sebab import terlalu banyak, begitu juga dengan isu penternak dan tanaman lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, memang harga makanan meningkat, tetapi kena berfikir panjang dan hati-hati dalam bertindak supaya tidak terus bergantung kepada import kerana dikhuatiri terus membunuh petani dan penternak.

“Apabila berlaku lambakan, yang akan rugi adalah petani dan penternak tempatan sebab biasanya barangan import lebih murah.

“Saya lebih bimbang melihat kesan jangka masa panjang kerana apabila petani dan penternak terhapus, tak berniaga dan keluar daripada pertanian, susah kita nak dapat petani baru. Dan apabila habis krisis, apa yang tinggal di Malaysia? Jadi kita akan sentiasa bergantung kepada import,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurfitri Amir berkata, kualiti makanan import juga dijangka menjadi persoalan susulan pemansuhan itu yang akan membenarkan lebih banyak pengusaha untuk menjalankan kegiatan itu.

“Tetapi siapa nanti akan kawal kualiti makanan tersebut, halal ke tak halal. Mudah untuk import tetapi perlu berhati-hati takut tidak ada kualiti.

“Persoalan lagi penting adalah beras juga akan termaktub kerana sekarang ini beras dikawal dikawal pengimportan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). Kalau beras juga tidak dikawal, maka petani tempatan akan lebih menderita,” ujarnya.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan berhati-hati dalam mengambil tindakan dengan mengenal pasti perkara yang menjadi permasalahan terhadap krisis makanan ketika ini dan menanganinya secara spesifik.

Katanya, ini kerana terdapat banyak lagi kaedah dan cara yang boleh dibuat dalam keadaan peningkatan harga bekalan makanan dan bukannya hanya mengambil jalan mudah seperti pemansuhan AP itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN