PETALING JAYA: Laporan penuh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan itu kemudiannya dibentang kepada Kabinet selepas siap sepenuhnya.
Bagaimanapun, katanya, sebarang pendedahan laporan itu kepada umum adalah berlandaskan kepada arahan daripada Jemaah Menteri.
“Kita jangkakan ada satu laporan penuh dalam tempoh tiga bulan nanti, harapan kita mungkin pada Julai atau Ogos.
“Tetapi, Kabinet yang akan buat arahan untuk dedah pada umum atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Pada 29 Oktober lalu, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas itu susulan keputusan Kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Tindakan tidak meneruskan rayuan itu juga telah membangkitkan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Mengulas mengenai pertemuan bersama Sultan Ibrahim kelmarin, Wan Junaidi berkata, ia adalah bagi membolehkan jawatankuasa mendapat pandangan daripada Sultan Ibrahim yang juga pemegang taruh tertinggi dalam kes Pulau Batu Puteh itu.
Katanya, ini kerana Sultan Ibrahim adalah raja memerintah Johor manakala Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh berada dalam kawasan atau wilayah negeri tersebut.
“Tuanku (Sultan Ibrahim) mengambil serius benda ini. Bayangkan Tuanku ada di Australia, tetapi sanggup balik berjumpa dengan kami.
“Tetapi, saya tak boleh mendedahkan pada umum apa yang dilaporkan kepada Tuanku,” jelasnya. – UTUSAN










