Jumlah kenderaan, rakyat sama banyak

Jumlah kenderaan, rakyat sama banyak

KESESAKAN trafik di bandar dan jalan-jalan utama di negara ini disebabkan bilangan kenderaan hampir menyamai jumlah penduduk manakala pertambahan jalan raya baharu tidak seiring. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kende­raan berdaftar sebanyak 33 juta iaitu hampir menyamai bilangan penduduk di negara ini menjadi punca utama kesesakan trafik di bandar dan jalan-jalan utama.

Pada masa sama, jumlah kenderaan berdaftar itu juga merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, situasi bertambah buruk apabila peningkatan tersebut tidak seiring dengan pertambahan projek baharu jalan raya sehingga menyebabkan berlaku kesesakan.

Selain itu, katanya, ditambah de­ngan sistem pengangkutan awam yang masih terhad dan da­lam proses pembinaan, menyebabkan rak­­yat lebih cende­rung untuk menggunakan kenderaan sendiri.

“Dalam masa sama, bandar raya kita berkembang pesat tapi jalan raya tidak banyak bertambah, kesesakan terus berlaku. Ia ditambah pula dengan sistem pengangkutan yang masih terhad dan ada yang masih dalam peringkat pembinaan.

“Apa yang kita perlukan sekarang untuk sistem pengangkutan awam adalah mahu meng­hubungkan setiap kawasan dengan satu kawasan yang lain. Sistem rel sekarang ada kosong di tengah-tengahnya.

“Maknanya ada jajaran yang tidak boleh pergi terus ke satu-satu tempat. Sebab itu, perlunya Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) untuk menghubungkan antara bandar dengan tempat lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sehingga 31 Disember 2020, Malaysia merekodkan 32.3 juta kenderaan bermotor dengan purata pertambahan kenderaan baharu melebihi 1.2 juta berbanding tahun sebelumnya.

Minggu lalu, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiga projek lebuh raya baharu bakal dibina di Lembah Klang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dialami lebih lima juta penduduk pada masa kini.

Selain pertambahan jumlah kenderaan, Ka Siong berkata, pembukaan pelbagai sektor sebagaimana seperti sebelum pandemik turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya.

“Ramai yang sudah mula kembali kerja. Masalahnya infrastruktur jalan tidak berkembang selari dengan pertambahan kenderaan.

“Jika di negara lain mereka bergerak seiring dan ada pelan perhubungan lebih meluas di­samping mempunyai jalan raya dua lapisan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ka Siong turut memberi bayangan pelaksanaan kenaikan tambang bagi perkhidmatan pengangkutan tertentu termasuk feri.

Tanpa memberi tahu jumlah kenaikan, beliau menjelaskan, ia wajar seiring peningkatan kos penyelenggaran dan operasi di­samping kadar lama yang tidak berubah.

“Kali ini kalau ada permintaan untuk kenaikan harga tambang, kita pertimbangkan bagi perkhid­matan yang sudah 15 tahun mengenakan harga lama.

“Cuma kita perlu lihat berapa banyak kenaikan itu .Tambahan pula dengan peningkatan harga minyak pada masa kini, ada industri terjejas sehingga menghentikan operasi.

“Setakat ini, saya tidak mahu umumkan dahulu (peningkatan harga) dan ia akan dibuat dalam tempoh terdekat. Kita dengar rintihan pengusaha dan turut meninjau kewajaran kenaikan kerana ia melibatkan golongan berpendapatan rendah (B40). Paling penting mengimbangi permintaan pengusaha dan tanggungan masyarakat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN