GEORGETOWN: “Sudah dua tahun kami menunggu untuk bersemuka dan bertanyakan tentang polisi rumit dan kerenah birokrasi dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), namun sehingga ke hari ini masih tiada peluang bertemu.
“Mereka seperti tiada fungsi, hanya semata-mata memberi perkhidmatan dan penguatkuasaan undang-undang. Prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan juga amat melecehkan.”
Seorang penternak ruminan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, berkata, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah birokrasi pihak berkenaan terutama dalam urusan permit pengeluaran lembu antara negeri.
Menurutnya, pelbagai alasan diberikan seperti kekurangan kakitangan, ketiadaan pegawai untuk menandatangani surat kebenaran di pejabat dan tempoh urusan hanya setakat pukul 4 petang.
Ahmad mendakwa, dia tidak pernah menerima bantuan daripada pihak berkenaan sejak lebih 20 tahun mengusahakan ternakan lembu selain Anugerah Penternak Jaya.
“Mereka memberi alasan yang ladang kami tiada status tanah sedangkan lebih berpuluh-puluh tahun kami sudah mengusahakannya. Saya usaha sendiri untuk mencapai kejayaan. Daripada tanah bersaiz kecil sehinggalah kini bersaiz besar.
“Pernah mereka memberi alasan yang saya sudah senang dan tak perlu lagi menerima bantuan,” jelasnya yang mula mengusahakan ladang ternakan lembu sejak 1999.
Utusan Malaysia semalam melaporkan lebih 20,000 ahli Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) yang kebanyakannya terdiri daripada penternak ruminan semakin terhimpit dengan dasar dan polisi JPV yang disifatkan hanya retorik.
TIDAK GAGAL
Dalam pada itu, penternak lembu berkata, industri ternakan lembu tidak akan gagal jika pihak berkenaan menyelami masalah sebenar, bukan menuding jari ke arah penternak setiap kali harga daging lembu naik seperti musim perayaan baru-baru ini.
Paling utama, mereka meminta kerajaan segera mengawal harga makanan bagi mengelak lebih ramai penternak ‘gulung tikar’ kerana tidak mampu menampung kos yang naik setiap bulan.
Seorang penternak, Abd. Samad Samiran, 49, berkata, dia tidak dapat lagi berselindung kerana harga makanan lembu naik sebanyak lapan kali tahun lalu.
“Sebelum ini harga makanan lembu iaitu dedak bagi bungkusan 25 kilogram (kg) berharga RM23, kini melonjak kepada RM33 dan dijangka naik lagi sebanyak RM4 pada penghujung bulan ini.
“Bagi penternak kecil di bawah 50 ekor, kami turut berdepan masalah pembelian isi rong kelapa sawit sebagai makanan tambahan selain jerami, tahi minyak dan sebagainya,” katanya.
Seorang lagi penternak, Nizal Mokmin, 42, berkata, sebagai penternak lembu secara fidlot, isu kenaikan harga makanan lembu secara kerap memberikan tekanan kepada penternak sepertinya.
Katanya, apabila harga makanan naik secara mendadak, penternak juga terpaksa mengehadkan jumlah ternakan lembu mereka bagi mengelak terus menanggung kerugian setiap bulan.
Menurut Nizal, kenaikan harga seperti dedak dan makanan sampingan lain menyebabkan penternak terpaksa menaikkan harga daging bagi menampung kos yang dikeluarkan sebelum ini.
“Dalam jangka panjang, jumlah ternakan lembu akan berkurangan kerana penternak tidak lagi berupaya untuk mengeluarkan perbelanjaan tambahan terutama kos makanan,” ujarnya.
Bagi penternak muda, Mohd. Aliffi Abu Khairi, 32, isu yang membelenggu penternak ketika harga makanan haiwan itu yang tinggi memberikan kesan kepada kelangsungan industri tersebut.
Katanya, kerajaan bukan tidak berupaya mengeluarkan makanan haiwan sendiri tetapi disebabkan lebih suka ambil jalan mudah mengimport bahan tersebut dari luar negara.
“Jangan tidak percaya, dalam ternakan lembu pun ada ‘kroni-kroni’. Kami penternak kecil terpaksa berdepan pelbagai masalah tetapi ada pihak tertentu tidak menerima apa-apa kesan pun,” jelasnya.
STRUKTUR SEMULA
Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, JPV perlu dikaji semula dengan struktur dan peranannya harus diperkasa supaya selaras kepentingan industri ayam dan ruminan masa kini.
Katanya, fungsi jabatan itu selama ini dianggap begitu kecil sekali gus tidak mampu menangani keperluan industri bersaiz besar.
“Kerenah birokrasi di peringkat agensi dan jabatan yang menyusah dan menyukarkan pengusaha kecil-kecilan hingga akhirnya gulung tikar perlu ditangani segera.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga perlu membantu memasarkan produk ternakan, namun mestilah lebih spesifik bagi memastikan kebajikan pengusaha ruminan terbela,” katanya.
Mazlan menambah, kerajaan tidak membolehkan membiarkan pengusaha kecil begitu sahaja tanpa sokongan dan modal kerana mereka selama kini dilanda pelbagai masalah termasuk soal mendapatkan bekalan makanan haiwan ternakan.
Justeru, kata beliau, kerajaan perlu mewujudkan sokongan di peringkat akar umbi tanpa mengharapkan JPV semata-mata kerana jabatan itu tidak cukup tangan untuk mengawal masalah berlaku selama ini.
“Industri ternakan berskala kecil dan sederhana mesti dibantu menerusi geran dan pembiayaan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di samping kementerian berkaitan seperti pembangunan usahawan dan luar bandar,’’ kata beliau. – UTUSAN










