PUTRAJAYA: Bakal jemaah yang ‘berjaya’ menipu status kesihatan mereka masih dianggap sah haji mereka jika lengkap menyempurnakan keseluruhan rukun ibadah itu.
Namun, menurut Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Abdul Halim Abdul Kadir, mereka dinasihatkan agar tidak kecoh dan ‘bangga’ dengan perbuatan salah tersebut.
“Saya tidak dapat kata haji mereka itu adalah mabrur, tetapi perlakuan menipu itu tetap salah walaupun status ibadah dianggap sah jika memenuhi semua rukun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan segelintir bakal jemaah yang sengaja meminta doktor memalsukan tahap kesihatan untuk diluluskan pergi ke tanah suci.
Kegiatan tidak bermoral itu tular diperkatakan mereka yang gagal sesi pemeriksaan perubatan ketika tinjauan Utusan Malaysia di beberapa cawangan Tabung Haji sekitar Lembah Klang.
Ada mendakwa bakal jemaah yang berjaya itu sanggup ke klinik swasta meskipun caj mahal kerana lebih mudah dapat kelulusan berbanding prosedur amat ketat di klinik kerajaan.
Tidak kurang juga yang berani mengugut doktor swasta kononnya nanti akan ‘jawab’ di padang mahsyar kerana menyekat Duyufurrahman ke tanah suci jika enggan meluluskan pemeriksaan.
Situasi itu jauh berbeza di klinik kerajaan, malahan wartawan Utusan Malaysia yang juga menerima tawaran haji kali ini pun berpeluang merasai pengalaman pahit gagal saringan kesihatan.
Alasan pegawai perubatan hanya kerana rekod paras glukosa badan ialah 8.7 yang melepasi had dibenarkan 8.0 serta dianggap mustahil dapat diturunkan dalam masa sebulan.
Semalam, merupakan hari terakhir untuk 14,306 bakal jemaah yang terpilih menghantar surat jawapan tawaran penerimaan atau penolakan di semua pejabat Tabung Haji seluruh negara.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, beliau mengambil pendekatan bersangka baik dengan sikap jemaah yang mungkin terpaksa berbuat demikian bagi diluluskan saringan pemeriksaan.
“Cuma secara peribadi, saya memohon mereka tidak ‘canang kecoh’ mengenai perbuatan itu kerana dibimbangi ia boleh guris perasaan bakal jemaah yang gagal pemeriksaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman pernah menyaksikan ada jemaah sanggup ‘berbelanja lebih’ membayar petugas Arab Saudi agar melepaskan mereka dapat memasuki ke tanah suci.
Perkara itu ujarnya bukan baharu kerana ada terdesak untuk menunaikan fardu haji setelah terpaksa ‘bergolok gadai’ jual segala harta di tanah air selain faktor umur yang semakin lanjut.
Bagaimanapun jelas beliau lagi, jika bakal jemaah terbabit memahami falsafah prinsip istito’ah atau berkemampuan, mereka akan pasrah menerima ketentuan Ilahi apabila disekat ke sana.
Bahkan, beliau berdoa mereka yang tidak dapat menunaikan haji akibat faktor kesihatan agar bersangka baik terhadap Allah dan menganggap ada hikmah tersirat di sebalik kegagalan itu.
Tidak ketinggalan ribuan bakal jemaah berusia 65 tahun ke atas yang lebih sedih tidak merasai ‘lambaian Kaabah’ susulan arahan Arab Saudi melarang kemasukan golongan berkenaan.
Musim haji pada Julai ini menyaksikan sejumlah 17,294 individu daripada 31,600 bakal jemaah bagi giliran tahun 2020 gagal mengerjakan haji akibat penurunan drastik kuota kali ini.
Malaysia tidak menghantar jemaah pada tahun 2020 dan musim haji tahun lepas susulan isu kebimbangan penularan wabak Covid-19 di samping faktor penutupan pintu sempadan negara. – UTUSAN










